Noor Azman Rahman
PETALING JAYA: Individu yang memasang impian merebut kerusi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres pemilihan pada Februari depan perlu mendapatkan sokongan penuh daripada ahli gabungan.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, bagi membolehkan mana-mana individu berpeluang merebut jawatan presiden, mereka perlu sekurang-kurang menerima enam pencalonan daripada ahli gabungan.
Bagi jawatan timbalan presiden FAM pula, Noor Azman berkata, sekurang-kurangnya lima pencalonan diperlukan dengan pertandingan untuk semua jawatan adalah terbuka setakat ini.
“Sesiapa atau mana-mana individu yang berminat untuk bertanding, jawatan presiden kena ada enam pencalonan daripada ahli gabungan. Sementara itu, timbalan presiden pula perlukan lima pencalonan.
“Bagi jawatan naib presiden pula empat pencalonan dan Exco (Ahli Jawatankuasa Eksekutif) dua pencalonan. Tiada had untuk sesiapa yang mahu bertanding nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Azman turut mengesahkan FAM akan menghantar notis dan borang pencalonan kepada ahli gabungan dan persatuan bola sepak negeri dalam masa terdekat.
“Kita akan hantar ke persatuan negeri notis mengenai kongres selain borang pencalonan, tetapi tarikh kita akan maklumkan kemudian.
“Cuma, mengikut statut mereka perlu mencalonkan nama yang bertanding 45 hari sebelum kongres,” katanya lagi.
Jawatan presiden FAM dijangka menjadi tumpuan selepas penyandangnya, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin mengesahkan tidak akan pertahankan jawatan selepas dua penggal mengemudi badan induk itu.
Untuk rekod, Hamidin dilantik buat pertama kali pada Julai 2018 bagi menggantikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meletakkan jawatan.
Bekas Setiausaha Agung FAM itu kemudiannya berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden FAM untuk penggal 2021-2025, selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar terbuka untuk bertanding jawatan Presiden FAM sekiranya mendapat ‘restu’ Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selain Shahril nama Naib Presiden FAM ketika ini, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub turut dicadangkan oleh ahli gabungan untuk jawatan itu dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

































