KOTA KINABALU: Polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dan menahan suspek yang terlibat dalam insiden ugutan jenayah di Pekan Telipok, Menggatal. Kejadian tersebut dirakam dalam sebuah video berdurasi 36 saat yang kini tular di media sosial TikTok.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, kejadian berlaku pada 28 Disember 2024, kira-kira jam 2.28 petang.
“Dalam insiden itu, seorang lelaki berusia 26 tahun telah diugut oleh seorang suspek lelaki yang tidak dikenali. Suspek menggunakan sebatang kayu sepanjang lebih kurang 20 inci untuk mengancam mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim menjelaskan bahawa kejadian bermula apabila suspek memandu secara berbahaya dan memotong kenderaan mangsa, hampir menyebabkan kemalangan. Mangsa yang panik bertindak membunyikan hon. Tidak lama kemudian, di lorong Pekan Telipok, suspek menghentikan kenderaannya di tengah jalan bagi menghalang pergerakan mangsa.
“Suspek kemudian keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu tersebut, mengacukan kepada mangsa sambil berkata, ‘Kau kenapa, suka hati saya mau pandu laju, awas kau.’,” katanya.
Kasim turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengawal emosi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, terutamanya ugutan jenayah.
Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.


































