Proton X50 2025 akan melihat pelancaran varian ‘facelift’ yang lebih hampir kepada Geely Binyue terkini di China.
Tahun 2024 menyaksikan sejumlah pelancaran kenderaan dan ada beberapa perkara yang penting berlaku yang akan mengubah halatuju industri automotif negara:
- Kemasukan jenama-jenama baharu dan lama dari China.
- Pengguna Malaysia menerima dengan baik jenama-jenama China.
- Peningkatan jualan genre kenderaan elektrik atau EV sebanyak 112 peratus (berbanding tahun 2023).
- Penurunan jualan dari jenama-jenama legasi dari Jepun dan Eropah.
Ia adalah satu perubahan yang menarik tetapi akan memberi beberapa impak kepada negara.
Menurut Utusan Malaysia, antaranya ialah:
- Penurunan jualan akan menyebabkan jenama-jenama legasi akan mengurangkan pelaburan mereka.
- Jika dibiarkan oleh kerajaan, penurunan jualan dari jenama-jenama legasi boleh memberi kesan kepada ribuan pekerja tempatan yang bekerja dengan mereka sekarang.
- Jenama-jenama baharu yang tidak bersedia untuk melabur di dalam negara akan tutup bila insentif EV tamat.
- Pengurangan pembabitan bumiputera dalam industri automotif.
Namun begitu, sekiranya pengguna mempunyai perancangan untuk membeli kenderaan baharu bagi tahun 2025, di bawah ialah senarai model-model penting yang bakal muncul di Malaysia dan nampaknya banyak yang menarik!
Citroën Basalt
Jenama Perancis ini akan kembali dengan sebuah model kemasukan yang dijangka bakal menarik perhatian ramai.
Citroën Basalt ialah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) serba ringkas yang menampilkan reka bentuk modern dan teknologi terkini.
Ia sudahpun dilancarkan di pasaran-pasaran global seperti di India dan dijana oleh enjin 1.2L PureTech turbo dengan 109 hp dan 205 Nm, melalui transmisi automatik enam kelajuan dari Jepun.
Stellantis, syarikat yang memiliki jenama Citroën dan Peugeot sudah beberapa tahun melakukan persediaan untuk ‘menyerang’ pasaran ASEAN, bermula dengan kilang mereka di Gurun.
Ini bermakna produk-produk mereka akan lebih sesuai untuk kegunaan tempatan dan harga yang mampu membuatkan jenama China sendiri runsing.
Basalt ini boleh dijual di bawah paras RM100,000 dan jika ini berlaku, jenama Perancis boleh popular kembali di Malaysia.
Proton X50
Jenama nasional pertama Malaysia ini boleh dikatakan adalah juara kepada semua jenama automotif dari China yang berada di sini kerana Proton yang sebenarnya membuka mata pengguna tempatan tentang produk-produk dari negara tersebut.
SUV pertengahan Proton, X50 nyata adalah salah satu produk popular jenama itu kerana harga yang menarik serta rekabentuk terkini.
Malah, X50 sebenarnya adalah produk yang lebih baharu berbanding dengan X70 yang dibina di atas platform lama.
Apapun, Proton X50 sudah pun hampir berusia lima tahun (dilancarkan dalam bulan Oktober, 2020) dan tahun 2025 akan melihat pelancaran varian ‘facelift’ yang lebih hampir kepada Geely Binyue terkini di China.
Perubahan fizikal ketara lebih kepada bentuk luaran dan kabin X50, sementara enjin akan kekal sama kerana Proton sedar ia tidak boleh berharap kepada Geely untuk stok alatganti.
Itu adalah antara punca kenapa Proton memasang sendiri enjin 1.5L Turbo 3-silinder yang digunapakai oleh kesemua model-model Proton dari Geely.
Selain dari itu, X50 juga dijangka akan menerima peningkatan teknologi untuk sistem keselamatan ADAS serta penambahan ciri-ciri Apple CarPlay dan Android Auto
Honda Civic Facelift
Ini bukan jangkaan tetapi satu kenyataan kerana Honda Malaysia sudah pun mengumumkan pelancaran varian terkini Honda Civic dalam bulan Januari 2025.
Civic ialah sedan bukan nasional paling popular di Malaysia (70 peratus pegangan pasaran) dan sejak pelancarannya dalam tahun 2022, Honda Malaysia sudah menjual lebih dari 28,000 unit.
Perubahan ialah kepada bahagian depan yang lebih agresif dan roda aloi 18-inci dengan corak dengan warna baharu.
Enjin kekal sama, the 1.5L V-TEC Turbo dengan 182PS and 240Nm untuk varian petrol RS, sementara varian hibrid e:HEV RS dengan gabungan trenkuasa enjin 2.0L dan bateri, menghasilkan 184PS dan 315Nm.
Untuk mereka yang gemar memandu, tidak ada sedan segmen C yang mampu menandingi keseronokan pemanduan Civic pada julat harga tersebut.
Toyota Yaris Cross/Perodua Nexis
Projek yang tertunda ini sepatutnya dilancarkan lebih awal tetapi isu pengurusan yang berlaku di Jepun menjadikan ia tertangguh.
Kemungkinan besar model ini akan dilancarkan dalam tahun 2025 kerana jika tidak, ia akan menjadi model ‘basi’.
Seperti Toyota Rush dan Perodua Aruz, Toyota Veloz dan Perodua Alza, ini akan menjadi SUV kembar bagi kedua jenama itu.
Yaris Cross ialah sebuah SUV peringkat kemasukan dengan lima tempat duduk, dijana oleh enjin 1.5L biasa yang digunakan oleh Vios dan juga enjin yang sama tetapi dari varian hibrid.
Untuk Perodua, resipi yang sama juga akan digunakan dan Nexus akan menjadi model hibrid pertama jenama itu.
Model ini dijangka akan dijual pada harga RM100,000 untuk versi Toyota dan RM80,000 untuk Perodua.
Perodua sekarang ini memegang lebih dari 40 peratus pasaran kenderaan tempatan, menjadikan ia jenama kenderaan nombor satu negara sejak tahun 2006.
Ia kekal dengan objektif asal, menghasilkan kenderaan mampu milik dengan prestasi, kualiti dan harga yang mampu.
Mungkin disiplin serta pengurusan yang stabil adalah kunci utama kejayaan Perodua, sesuatu yang Proton dan DRB Hicom boleh pelajari.
Jetour
Jenama ini mungkin mengambil perkataan Perancis tetapi itulah sahaja kaitan ia dengan negara Eropah itu kerana Jetour adalah satu lagi anak syarikat Chery.
Jetour pernah mengumumkan akan melancarkan empat buah model di Malaysia untuk tahun 2025, iaitu:
- Jetour Dashing dengan enjin 1.5L turbo yang akan bersaing dengan Proton X50, Honda HR-V dan sebagainya.
- Jetour X70 Plus dengan tujuh tempat duduk seperti Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro.
- Jetour T1, sebuah SUV dengan sistem PHEV yang modern dan menjimatkan bahan api.
- Jetour T2, SUV agresif yang bersedia untuk menempuh cabaran pengembaraan anda.
Tidak mengejutkan jika tidak ada satu pun model itu akan dilancarkan kelak kerana cara perniagaan syarikat-syarikat China memang sukar dibaca.
Proton Saga Generasi Baharu
Sedar atau tidak, Proton Saga generasi sekarang sudah berusia lapan tahun dan secara teknikal, ia sendiri dibina di atas platform yang diguna pakai sejak 16 tahun lalu.
Proton sudah diketahui giat mencari platform dan enjin yang sesuai dari Geely untuk Saga yang baharu dan kerana ia sebuah Saga, ia perlukan sesuatu yang benar-benar mampu milik.
Faktor harga juga bermakna Proton perlukan enjin lasak yang boleh dipasang di Malaysia dan enjin 1.5L turbo yang ada sekarang tidak sesuai.
Saiz Saga juga sepatutnya sama seperti sekarang, tetapi dilengkapi dengan sistem keselamatan yang lebih bagus serta ruang kargo yang luas.
Desas-desus mengatakan ia boleh dilancarkan seawal penghujung 2025 dan mungkin kali ini Proton benar-benar boleh menjadikannya sebuah model eksport yang berjaya.































