Keadaan di lokasi kemalangan itu.
KOTA KINABALU: Kecuaian pemandu punca kemalangan maut melibatkan dua buah kenderaan yang berlaku di Jalan Lintas, berhampiran Restoran Starbucks, pada jam lebih kurang 9.20 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan sebuah Honda Accord yang dipandu oleh seorang lelaki berumur lingkungan 60-an bersama tiga ahli keluarganya, dan sebuah Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 40-an.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu Honda Accord dalam perjalanan pulang ke Petagas dari Inanam.
“Ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, pemandu tersebut menukar lorong kanan tetapi terpaksa kembali ke lorong asal selepas menyedari terdapat kenderaan lain di hadapan lorong kanan. Bagaimanapun, pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga bergesel dengan Perodua Alza dan akhirnya terbabas ke dalam parit di sebelah kiri jalan.
“Akibat daripada kemalangan ini, tiga penumpang Honda Accord tercampak keluar. Salah seorang daripadanya, iaitu isteri pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Pegawai perubatan yang hadir di lokasi mengesahkan kematian mangsa.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Honda Accord yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik. Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,’ katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas untuk mengelakkan insiden sebegini berlaku.


































