PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil keterangan 15 individu termasuk lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah serta seorang pemberi maklumat berhubung video dakwaan skandal rasuah melibatkan ADUN negeri itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua sesi keterangan itu selesai diambil pada Sabtu lalu.
“Namun sehingga hari ini pemberi maklumat itu enggan menyerahkan apa-apa bukti kerana masih menuntut perlindungan untuk imuniti daripada dikenakan sebarang dakwaan.
“Kami menerima laporan terhadap pemberi maklumat itu yang didakwa bersekongkol dengan seorang pegawai Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu penerokaan mineral,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) tahun 2024 di Auditorium Angkasa di sini, semalam.


































