BANGKOK: Satu hantaran Facebook yang memaparkan seorang sami di Thailand melekatkan kening palsu pada wajahnya supaya dapat menggunakan kad kebajikan kerajaan, menjadi tular sejak Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, tiga gambar sami yang tidak dinamakan itu dimuat naik di halaman CNew Viewer 4K pada 11.17 pagi (waktu tempatan), dan dalam masa beberapa jam, hantaran tersebut menerima hampir 8,000 reaksi termasuk emoji ketawa, lebih 370 komen dan 1,500 perkongsian.
Hantaran itu menyatakan sami tersebut menghadapi kesukaran menggunakan hak kebajikan kerana aplikasi pembayaran di kedai gagal mengenal pasti beliau sebagai orang yang sama dalam gambar pada kad kebajikan.
Pemegang kad kebajikan mesti menunjukkan kad pengenalan mereka di kedai yang dibenarkan, di mana aplikasi pembayaran kerajaan mengimbas wajah untuk pengesahan.
Bagaimanapun, kekurangan kening sami – satu keperluan untuk sami Buddha – menghalang sistem daripada mengesahkan identitinya.
Untuk menyelesaikan masalah itu, kakitangan kedai menggunakan pita pelekat hitam untuk membuat kening palsu.
Penyelesaian itu berjaya dan aplikasi tersebut akhirnya meluluskan pembayaran.
Walaupun ramai netizen mengakui berdosa kerana mentertawakan gelagat sami itu, mereka menganggap situasi tersebut sangat lucu.
Namun, sebahagian mereka mengakui cabaran yang dihadapi oleh kedai runcit untuk menerima kad kebajikan.
Bagi pelanggan yang mengalami perubahan fizikal drastik seperti penurunan berat badan akibat kanser, kedai tersebut terpaksa mencari penyelesaian kreatif seperti meminta mereka mengembungkan pipi untuk melepasi proses imbasan wajah.


































