JAKARTA: Pasukan penyelamat giat mencari penumpang yang terperangkap dalam bas mini tertimbus lumpur selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda beberapa lokasi di wilayah Sumatera Utara, Indonesia, mengorbankan sekurang-kurangnya 27 nyawa.
Menurut Utusan Malaysia, agensi bencana Indonesia memaklhujan lebat di wilayah itu sejak minggu lalu menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di empat daerah berbeza.
Tanah runtuh di sebuah kampung di Deli Serdang Rabu, membunuh tujuh orang dan mencederakan 20 yang lain, kata jurucakap polis Sumatera Utara, Hadi Wahyudi.
Pasukan penyelamat giat mencari mangsa hilang, termasuk mereka yang terperangkap dalam bas mini dan kenderaan lain di jalan antara wilayah berbukit yang dilanda banjir lumpur.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan anggaran jumlah mangsa yang terjejas.
Di lokasi berasingan, penyelamat menemukan 20 maut semasa pencarian bermula pada hujung minggu, dan masih mengesan dua mangsa hilang.
“Hari ini kami menumpukan pencarian untuk mencari mangsa hilang dan membersihkan jalan terjejas akibat tanah runtuh,” kata Hadi.
Tanah runtuh dan banjir kilat turut memusnahkan rumah, masjid dan sawah.
Hujan lebat turut mencetuskan banjir di ibu kota wilayah Medan, menyebabkan proses mengundi untuk pilihan raya wilayah ditangguhkan.
Cuaca ekstrem dijangka landa Indonesia menjelang akhir 2024, berikutan fenomena La Nina yang meningkatkan taburan hujan di seluruh negara.
































