Juliah (lima kanan), Nuinda (empat kiri) merakamkan gambar kenangan bersama ahli-ahli Puspanita.
KOTA KINABALU: Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Sabah membantu memelihara budaya dan tradisi khazanah rakyat.
Penaung PUSPANITA Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag berkata, di samping komited memelihara budaya tradisi melalui program yang dianjurkan, PUSPANITA turut memperkasakan ahli-ahli persatuan itu sendiri dalam pelbagai bidang.
“Melalui program kita hari ini membuktikan bahawa ahli-ahli Puspanita sendiri memainkan peranan penting dalam membantu memastikan kepelbagaian budaya dan khazanah yang kita warisi seperti pakaian dan makanan tradisi kekal terpelihara bukan sahaja untuk generasi masa kini malah pada masa akan datang.
“Saya turut teruja dan tertarik dengan penyajian makanan, minuman tradisi suku kaum yang pelbagai di gerai-gerai tamu PUSPA itu tadi, selain dapat beramah mesra lebih dekat, konsep tamu seperti ini menunjukkan semangat kekitaan dan kesepaduan.
“Saya juga bangga dengan prestasi dan kecemerlangan PUSPANITA cawangan Sabah dalam melaksanakan pelbagai program bermanfaat kepada persatuan, ahlinya serta orang ramai, ini termasuklah penganjuran kursus, seminar dan ceramah yang sudah pasti telah dapat memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan kepada ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Sulaman Kasih Titipan Memori PUSPANITA Sabah di Wisma Puspanita, pada Rabu.
Sementara itu, Pengerusi PUSPANITA cawangan Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Dr. Nuinda Alias menyeru kepada agar PUSPANITA mengambil peluang mengetengahkan bakat yang ada dipraktikkan menjana ekonomi seterusnya menjadi imej yang baik.
“Hari ini, kita membawa konsep etnik, memperkenalkan bukan sahaja dari segi pakaian tetapi juga makanan, minuman dan permainan tradisi dan sebagai satu permulaan ini tidaklah sebesar mana, hanya dalam lingkungan keluarga PUSPANITA itu sahaja, namun demikian konsep ini menjadi tarikan kepada semua ahli menunjukan bakat mereka.
“Kali pertama ini, kami bagi bantuan sedikit untuk mereka tunjukkan bakat dalam masakan dan tidak disangka, kami dapat melihat peluang yang mereka tunjukkan itu amat baik sekali.
“Dalam ruangan ini kami bukan sahaja dapat melihat dari segi kemahiran memasak itu sendiri boleh menjadi satu aktiviti sumber ekonomi suatu hari nanti tapi juga kemahiran dari segi mengurus kemahiran bermuafakat, kemahiran dalam kerja berpasukan dan juga kemahiran bagaimana menunjukkan satu imej yang baik kepada ahli dan masyarakat.
“Kami harapkan dalam konsep kekeluargaan, kami juga telah menunjukan satu identiti keunikan negeri Sabah itu sendiri terutamanya dari segi pakaian, makanan, minuman dan permainan itu sendiri dan di harap akan datang diadakan lagi seperti ini dengan konsep sama ke daerah-daerah luar,” jelas beliau.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi I dan II PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Faridah Jaafar dan Datin Siti Yuslaini Samsuri serta Pengerusi Pelaksana Majlis Sulaman Kasih Titipan Memori, Datin Christine Teresa Netto.