Seorang pelanggan berjalan berhampiran rak telur segar di sebuah kedai runcit di San Anselmo, California.
SACRAMENTO: Harga telur meningkat di Amerika Syarikat (AS) berikutan penyebaran selesema burung yang menyebabkan berjuta-juta ekor ayam mati atau dimusnahkan.
Menurut Utusan Malaysiaz harga untuk sedozen telur meningkat lebih 60 peratus sepanjang tahun lepas ekoran wabak tersebut dan masalah serupa dijangka berterusan hingga hujung tahun ini kerana permintaan yang tinggi pada musim cuti di AS.
Menurut Biro Statistik Buruh, harga purata untuk sedozen telur di bandar-bandar AS ialah sekitar AS$3.37 (RM15.02) pada bulan lalu, meningkat 63 peratus dari Oktober 2023 yang mencatat harga AS$2.07 (RM9.22).
Selesema burung menjadi penyebab terbesar peningkatan harga telur terutama ketika November dan Disember.
Sepanjang bulan ini, lebih enam juta unggas terpaksa dimusnahkan akibat selsema burung, kebanyakannya ayam telur.
Gelombang terkini wabak tersebut turut mencetus kekurangan bekalan telur daripada ayam tanpa sangkar di Nevada, Washington dan Oregon, dengan California antara yang paling terjejas teruk.
“Kami perlu memindahkan telur dari kawasan lain untuk menampung bekalan yang rendah di negeri tersebut, kerana negeri-negeri ini hanya membenarkan telur daripada ayam tanpa sangkar dijual di pasaran mereka,” kata Pengerusi Badan Pengurusan Telur AS, Emily Metz.
Pakar Ekonomi Pertanian Universiti Iowa, Prof. Chad Hart berkata, permintaan untuk telur istimewa tersebut juga mungkin menyumbang kepada penularan selesema burung, yang merebak melalui najis burung liar yang berhijrah melewati ladang.
“Membenarkan ayam berkeliaran dengan lebih bebas meletakkan haiwan itu pada risiko yang lebih besar. Sangat sukar untuk mengawal interaksi antara ayam peliharaan dan burung liar.
“Vektor tersebut juga semakin terdedah kerana kami meminta industri telur menghasilkan pengeluaran dengan cara yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.


































