Kenneth Jonassen
KUALA LUMPUR: Siapa sangka persembahan Malaysia menentang Denmark pada Piala Thomas 2024, April lalu telah menarik minat Kenneth Jonassen untuk membimbing kem badminton negara.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang memberitahu, Jonassen kagum dengan persembahan pemain perseorangan negara, Justin Hoh.
Penampilan sulungnya di temasya dwitahunan itu mencetuskan satu persepsi kepada Jonassen ketika Justin memberi tentangan sengit kepada pemain bimbingannya Rasmus Gemke biarpun tewas 7-21, 23-21, 18-21 pada saingan peringkat kumpulan.
Rexy percaya dengan pengalaman yang ada pada Jonassen boleh menjadi kunci untuk menghidupkan skuad perseorangan lelaki dan wanita Malaysia.
“Saya sentiasa berharap Jonassen akan menyertai kami dan berterima kasih kepada pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam kerana membuat keputusan ini.
“Selepas perlawanan Justin menentang Gemke, Jonassen memberitahu beliau kagum dengan permainan pemain berusia 20 tahun itu,” kata Rexy kepada pemberita selepas mesyuarat ahli majlis di ABM, kelmarin.
Ketika ditanya mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diberikan oleh BAM kepada Jonassen untuk mencapai emas di Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028, Rexy yakin sasaran realistik dicapai.
“Saya percaya ia realistik. Dengan Justin berusia 20 tahun dan masih mempunyai empat tahun ke LA 2028, Jonassen mempunyai pengalaman itu selepas melatih Viktor Axelsen mencapai pingat emas di Tokyo 2020.
“Bagaimanapun, proses ini bukan mendatangkan hasil dengan cepat. Ia memerlukan masa. Namun hasil perbincangan dengan badan induk, kami percaya Jonassen adalah orang yang sesuai untuk pikul tugas ini,” ujarnya.
Selaku ketua jurulatih perseorangan, Jonassen akan dibantu dua jurulatih K. Yogendran dan Alvin Chew dalam perseorangan lelaki manakala Jeffer Rosobin dan Misbun Ramdan Misbun akan membantu skuad wanita.


































