Redonah Bahanda
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda meluahkan rasa kesal yang mendalam terhadap insiden melibatkan ADUN Merotai, Sarifuddin Hata dan ADUN Kunak, Norazlinah Arif yang dilaporkan membabitkan tindakan fizikal.
Katanya, sebagai seorang wanita dan pemimpin, insiden ini mencerminkan tindakan yang bertentangan dengan prinsip profesionalisme, etika dan keadilan, terutamanya terhadap wanita dalam politik.
“Sebagai seorang pemimpin wanita, saya ingin menekankan bahawa insiden ini bukan sahaja mencemarkan institusi politik, tetapi juga memberi isyarat negatif kepada golongan wanita yang ingin menceburi dunia kepimpinan.
“Wanita sering berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk diskriminasi dan keganasan, dalam usaha mereka memperjuangkan hak rakyat.
“Insiden ini menunjukkan perlunya usaha yang lebih gigih dalam memastikan suasana politik bebas daripada sebarang bentuk intimidasi, termasuk keganasan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, menyeru pihak berkuasa dan badan legislatif untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Tindakan disiplin yang tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang bersalah untuk memastikan keadilan ditegakkan, katanya.
“Prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat perlu diwujudkan bagi melindungi wanita, terutamanya dalam politik, daripada sebarang ancaman fizikal atau mental.
“Selain itu, pemimpin perlu diberikan latihan berterusan dalam pengurusan konflik, komunikasi, dan etika agar insiden sebegini tidak berulang.”
Redonah berkata, pemimpin dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk memperjuangkan ego atau kepentingan peribadi. “Insiden sebegini hanya mengalihkan perhatian daripada isu-isu utama yang memerlukan penyelesaian.”
Beliau juga menyeru semua pemimpin, terutamanya lelaki, untuk menghormati wanita dan memupuk suasana kerja yang selamat dan adil.
“Setiap pemimpin, tanpa mengira jantina, harus menjadi contoh kepada masyarakat, dan bukan mencetuskan konflik yang menjejaskan kredibiliti institusi demokrasi.
“Sebagai seorang wanita, pemimpin dan ibu, saya berdiri teguh bersama rakan-rakan saya untuk memastikan insiden seperti ini tidak mencemarkan nama baik politik dan perjuangan kita untuk rakyat.”


































