Azizah (tiga dari kanan) membuat kejutan sambutan hari lahir kepada Toh Puan Norlidah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa memastikan penglibatan wanita dalam pelbagai inisiatif pembangunan negeri bagi menjadikan Sabah lebih berdaya saing, maju, dan mampan.
Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, beliau menghargai usaha Hajiji, terutamanya melalui Belanjawan Sabah 2025 yang memperkenalkan tujuh perkara penting untuk wanita.
“Antara program yang diketengahkan ialah Program Pembangunan Wanita melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Program Kredit Mikro oleh Yayasan Usaha Maju (YUM), Program Keusahawanan Wanita Muda (Perbadanan Pinjaman Sabah dan IDS), komitmen meningkatkan penglibatan wanita dalam pembuat keputusan, pembangunan usahawan menerusi Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Program Kesejahteraan Wanita, serta pelbagai skim bantuan untuk ibu tunggal dan warga emas,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa keseluruhan program yang dirangka dalam belanjawan ini memainkan peranan penting dalam memperkasakan wanita, meningkatkan taraf hidup mereka, dan mengurangkan jurang gender di Sabah.
“Wanita yang diberi peluang, ruang, dan sokongan sewajarnya bukan sahaja mampu membina kehidupan lebih baik untuk keluarga tetapi juga menjadi tunjang kepada pembangunan negeri. Saya berharap sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam peringkat pembuat keputusan dapat direalisasikan,” katanya pada Majlis Menjunjung Kasih bersama isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Dr. Hajah Norlidah R.M. Jasni di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Majlis tersebut diadakan untuk meraikan Toh Puan Norlidah sebagai Penaung PPS. Turut hadir ialah Naib Presiden PPS, Annie Lourdes; Setiausaha Agung, Mariayati Kastari; Bendahari Agung, Norly Abdullah; Penolong Setiausaha Agung, Siti Harinah Mohd. Dun; serta ahli jawatankuasa PPS.
Pada majlis itu, PPS turut memberi penghargaan kepada mantan ahli yang bersara, termasuk mantan Naib Presiden Hajah Nurliah Abdul Jalil, mantan Bendahari Agung Hajah Noraini Damsik, ahli jawatankuasa Hajah Rokayah Salleh, dan Datuk Seri Hajah Salmah Abdul Rahman.
Majlis turut diserikan dengan kejutan sambutan ulang tahun kelahiran Toh Puan Norlidah serta penyampaian cenderahati daripada Azizah.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif dan kesungguhan mereka dalam memperjuangkan nasib wanita. Semoga Belanjawan Sabah 2025 menjadi titik tolak kepada masa depan lebih cerah dan makmur untuk wanita di negeri ini,” kata Azizah.
































