PETALING JAYA: Pemain peseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia layak ke Jelajah Dunia Akhir tahun ini walaup;un terkandas seawal pusingan pertama di tangan pemain India sedang meningkat naik, Lakshya Sen pada Kejohanan Badminton China Masters di Shenzen.
Menurut Utusan Malaysia, bintang No. 7 dunia itu terpaksa akur kepada pemain di ranking ke-17 dunia tersebut 14-21, 21-13, 13-21 dalam masa 57 minit.
Turut menerima nasib serupa seorang lagi wakil perseorangan Malaysia, Leong Jun Hao yang gagal mengekalkan rentak konsisten apabila tumpas kepada wakil Jepun, Takuma Obayashi 12-21, 11-21 dalam masa 38 minit.
Anak jati Kedah itu berkata, China Masters merupakan kejohanan terakhirnya pada tahun ini sebelum Jelajah Dunia Akhir.
Dalam kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia telah layak ke Jelajah Dunia Akhir.
Mengulas persembahannya, Rabu, Zii Jia menjelaskan, lawannya Lakshya bermain dengan sangat baik dan mempunyai pertahanan yang cukup mantap.
“Dia berhak menang dan saya pula perlu melakukan sesuatu sebaik pulang ke tanah air nanti terutama kesilapan sendiri yang saya lakukan, saya perlu terus bekerja keras,” ujarnya yang dipetik dari laman BWF.
Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, pasangan No. 6 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah menyingkirkan gandingan tuan rumah, Ding Ke Yun-Wang Yi Duo 21-16, 21-14.
Turut mara ke pusingan kedua, beregu campuran Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang menewaskan Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh dari Taiwan 21-17, 21-12, manakala, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien mengetepikan Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri dari Algeria 21-15, 21-13.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa beregu profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Tan Kian Meng-Lei Pei Jing selepas mereka tewas kepada lawan masing-masing.
































