KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) memaklumkan bahawa syarikat itu telah menjalankan siasatan dalaman yang menyeluruh, yang mendedahkan pelanggaran serius terhadap tugas fidusiari, aktiviti penipuan yang didakwa, salah penyataan/pembohongan kepada Lembaga Pengarah SMM, dan salah laku yang dilakukan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jontih Enggihon.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMM, Natasha Sim berkata, sebagai tindak balas kepada penemuan tersebut, syarikat telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau menjelaskan bahawa siasatan telah mengenal pasti beberapa insiden di mana Jontih bertindak di luar bidang kuasanya serta melakukan tindakan yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada entiti yang berpotensi mempunyai konflik kepentingan, dengan kerjasama pihak ketiga yang mewakili kartel kepentingan tertentu.

Natasha Sim
“Tindakan ini dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan Lembaga Pengarah, yang merupakan pelanggaran serius terhadap dasar dan piawaian tadbir urus syarikat.
“Selaras dengan komitmen kami terhadap ketelusan dan pematuhan undang-undang, SMM juga telah melantik penasihat undang-undang luaran untuk meneliti tindakan sivil lanjut terhadap Encik Jontih bagi mendapatkan ganti rugi atas sebarang kerugian kewangan atau kerosakan reputasi yang dialami oleh syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Natasha menegaskan bahawa SMM kekal komited untuk menegakkan piawaian tertinggi dalam tadbir urus korporat, ketelusan, dan akauntabiliti dalam semua operasinya.
Syarikat ini juga bertekad untuk melindungi kepentingan para pemegang saham dan rakyat Sabah serta tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku yang menjejaskan integriti operasinya, tambahnya.
SMM bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dan PDRM dalam siasatan mereka dan akan terus memberikan sebarang bantuan yang diperlukan bagi memastikan perkara ini ditangani mengikut undang-undang Malaysia.
“Kenyataan ini dikeluarkan bagi memastikan para pemegang saham sentiasa dimaklumkan tentang tindakan syarikat dan komitmen kami terhadap pengurusan yang bertanggungjawab,” katanya.


































