Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Sebanyak 51.05 peratus pelajar Sabah cenderung kepada subjek Sains,Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM), kata Menteri Sains, Technologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Katanya, ini berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia untuk tahun ini.
Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) telah melaksanakan pelbagai program untuk menarik minat pelajar terhadap bidang STEM melalui pendidikan tidak formal iaitu program-program pembudayaan STEM yang tidak terikat kepada kurikulum rasmi sekolah.
Katanya, antara program-program yang telah dilaksanakan adalah:
- Program Festival STEM yang bertujuan meningkatkan minat dan pemahaman pelajar terhadap STEM melalui aktiviti pembelajaran interaktif seperti eksperimen sains, pertandingan robotik, projek kejuruteraan dan pertandingan matematik. Pelaksanaan program ini melibatkan kerjasama dengan 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan setiap PPD diperuntukkan dana sebanyak RM15,000 untuk melaksanakan program tersebut. Sasaran utama Program Festival STEM adalah pelajar dan guru sekolah.
- Program Mini Teater STEM iaitu inisiatif Kerajaan yang bertujuan untuk menggalakan minat dan kemahiran STEM di kalangan pelajar. Program ini menggunakan teater sebagai alat untuk mengajar konsep-konsep STEM dengan kaedah yang menyeronokkan dan interaktif. Program ini dilaksanakan secara berkala untuk memastikan pelajar terus terlibat dalam aktiviti STEM.
- Penubuhan Pusat Sains Keningau merupakan usaha Kerajaan untuk memberi peluang sama rata kepada pelajar di kawasan luar bandar dalam memberi pendidikan sains berkonsepkan hands-on, minds-on dan hearts-on. Usaha ini adalah bagi mencetuskan minat pelajar dalam aliran STEM.
- Program Kembara Pameran Sains Interaktif atau Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation” iaitu program kerjasama China Science Technology Museum dan Guangxi Science Technology Museum bertujuan untuk menjadikan pembelajaran dalam bidang sains menarik, mudah dan menyeronokkan.
- Bagi meningkatkan minat dan pencapaian pelajar sekolah luar bandar dalam mata pelajaran matematik, KSTI telah menganjur Kem Matematik Perdana 2024 dengan kerjasama UMS.
- Kementerian juga telah menganjurkan Kolokium Pendidikan STEM 2024 yang merupakan platform bagi warga pendidik STEM untuk bertukar pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam menangani isu-isu pengajaran dan pembelajaran. Ini juga merupakan ruang kepada komuniti guru STEM bekerjasama lebih rapat dan meningkatkan produktiviti mereka.
Dr. Mohd. Arifin berkata, Kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan rakan strategik daripada Negeri dan Persekutuan serta agensi swasta.
Katanya, dalam tahun 2024 sebanyak sepuluh program telah dilaksanakan
dengan kerjasama rakan strategik KSTI untuk memupuk pelajar meminati subjek STEM dan seterusnya cenderung untuk
memilih laluan kerjaya dalam bidang tersebut.
“Pada ketika ini, Kementerian sedang dalam fasa mengenal pasti dan menilai
program-program baharu pembudayaan STEM yang relevan dengan kehendak semasa untuk dilaksanakan pada tahun
hadapan.
“Kementerian juga akan terus melaksanakan program-program seperti STEM Fiesta, Program Outreach STEM, Program Kem Matematik dan Program Kembara Pameran Sains.
“Semua ini merupakan usaha Kerajaan Negeri meningkatkan kadar kecenderungan pelajar dalam subjek STEM dan mengubah persepsi pelajar bahawa sains adalah sukar,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) yang bertanya kepada berapa peratus kecenderungan pelajar terhadap subjek Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) dan apakah program yang telah dan akan dilaksanakan Kerajaan dalam menarik minat pelajar terhadap bidang STEM.

































