Shahelmey bersalaman dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor semasa menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Kajian kebolehlaksanaan projek Trans-Borneo Railway diluluskan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos keseluruhan berjumlah RM7.0 juta, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Pada masa ini, proses penilaian Juruperunding, serta penubuhan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal telahpun selesai pada bulan Oktober 2024.
“Kementerian saya dimaklumkan bahawa proses penyediaan Surat Setuju Terima (SST) sedang dilaksanakan.
“Projek kajian dijangka akan dimulakan selewat-lewatnya pada bulan Disember 2024 dan dijangka siap pada penghujung tahun 2025 (iaitu selama 12 bulan),” kata beliau.
Shahelmey berkata, Keretapi Sabah adalah di bawah kuasa Negeri dan perundangan Negeri berkaitan keretapi adalah di bawah Enakmen Keretapi 2017.
Enakmen 2017 ini, katanya, telah digubal semula bagi menggantikan Ordinan Keretapi (Bab 116) dan Enakmen 2017 itu mula berkuat kuasa pada 02 Januari 2018.
“Ini bermaksud, segala perancangan, pengurusan, operasi, penyelenggaraan dan penguatkuasaan adalah diperuntukkan di bawah Enakmen 2017 dan dikuat kuasakan oleh agensi Negeri Sabah iaitu Jabatan Keretapi Negeri Sabah.
“Ini adalah selaras dengan kuasa Negeri di bawah Butiran 18, Senarai Negeri iaitu Senarai IIA – Tambahan kepada Senarai Negeri bagi Negeri Sabah dan Sarawak [Perkara 95B(1)(a)] Perlembagaan Persekutuan.
“Penglibatan Kerajaan Persekutuan dalam perojek kajian ini sememangnya dialu-alukan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) Dr. Yusof bertanya tentang perkembangan terkini projek serta kajian kebolehlaksnaan projek Trans-Borneo Railway yang dihebohkan sejak penghujung tahun 2023, adakah Kerajaan mempunyai perancangan jangka panjang untuk membangun, memoden dan meluaskan rangkaian landasan keretapi di Sabah agar setanding dengan perkhidmatan keretapi di Semenanjung Malaysia dan apakah bentuk koordinasi di antara Sabah, Sarawak dan Brunei.
Yong bertanya apakah status cadangan Trans-Borneo Railway Sarawak-Sabah-Kalimantan yang diumumkan Menteri Kerja Raya Persekutuan di mana telah konsultan dilantik dan adakah pengurusan keretapi di Sabah selaras dengan perlembagaan Persekutuan Artikel 95B(1)(a), List IIA, Seksyen 18 dimana bidang keretapi ialah dibawah Kerajaan Negeri Sabah (state list).
Selain itu, beliau turut bertanya adakah RM7 juta yang diperuntukkan untuk kajian ini cukup atau tidak, adakah kejadian ini hanya kajian kemungkinan dari segi ekonomi dan kewangan ataupun termasuk dari segi teknikal, dan adakah Kerajaan Negeri memberi kuasa kepada Kerajaan Pusat mencampurtangan dalam bidang keretapi.
Shahelmey memberitahu, Kerajaan Negeri juta turut akan melaksanakan satu kajian khusus iaitu kajian kemungkinan dan rekabentuk awalan pemanjangan landasan keretapi dari Putatan ke KKIP dan seterusnya ke Pelabuhan Sepanggar dengan anggaran kos kajian sebanyak RM1.75 juta.
Beliau berkata, kajian ini dijangka akan bermula selewat-lewatnya pada bulan Mac 2025. Kesemua kajian ini sama ada oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri merupakan perancangan jangka panjang untuk membangun, memoden, dan meluaskan rangkaian system keretapi di Sabah.
“Hasil dapatan daripada kajian ini kelaka akan digunakan sebagai asa bagi perancangan program pembangunan baharu, serta sebagai asa bagi pertimbangan permohonan peruntukan bagi pelaksanaan berbentuk fizikal dalam RMKe-13 dan seterusnya.
“Perancangan jangka panjang ini perlu disusun secara berfasa, berpandukan kepada keutamaan dan sumber pembiayaan yang tersedia,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) adalah dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan Kerajaan Persekutuan.
Dalam pelaksanaan Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) Trans-Borneo Railway, katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Keretapi Negeri Sabah merupakan Ahli Jawatankuasa Pemandu dan juga Ahli Jawatankuasa Teknikal.
“Keputusan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan pembinaan fizikal Program Trans-Borneo Railway adalah bergantung kepada hasil dapatan kebolehlaksanaan kajian kemungkinan tersebut, serta Cadangan Model Pelaksanaan atau Model Kewangan kelak.
“Hasil dapatan daripada kajian kemungkinan itu nanti, akan dirangka bagaimana kerjasama antara negeri Sarawak, Brunei dan negeri Sabah dalam pelaksanaan fizikal kelak,” katanya.
Sementara itu, berkaitan sama ada RM7 juta cukup atau tidak, Shahelmey berkata, itu adalah di bawah pertimbangan daripada Kementerian Pengangkutan yang melaksanakan projek tersebut.
Namun demikian, katanya, dalam skop kajian secara ringkas yang dimaklumkan kepada beliau adalah, meliputi tiga skop.
“Skop pertama termasuk menentukan laluanatau jajaran yang sesuai untuk landasan dan system keretapi, mengambilkira aspek ekonomi, sosial dan kos.
“Skop kedua melibatkan penentuan keseluruhan infrastruktur yang diperlukan disepanjang laluan iaitu lintasan rata, jejambat, stesen, depoh, dan lain-lain.
“Dan skop ialah melaksanakan kajian kejuruteraan yang menyeluruh bertujuan untuk memastikan system keretapi yang bakal dibina adalah berteknologi moden dan terkini, serta operasinya kelak berdaya maju standing dengan sistem keretapi lain di seluruh dunia,” katanya.
Shahelmey bwrkata, peringkat feasilibity study ini adalah kajian awal, dan selepas kajian awal dilaksanakan, satu laporan akan dibentangkan untuk membantu membuat keputusan sama ada akan melaksanakan dan melaksanakan proses rekabentuk terperinci yang sudah pasti nanti akan memerlukan kos-kos terperinci seperti pengukuran tanah, engineering dan sebagainya.
“Kita tumpukan sahaja dulu ke kajian kebolehlaksanaan dijalankan. Nanti pada penghujung 2025 kita nantikan apa hasil daripada kajian kebolehlaksanaan tersebut.
“Untuk makluman, dalam skop awal kajian pelaksanaan pembinaan Trans-Borneo Railway ini, cadangan jajaran kajian oleh pijak Negeri Sabah meliputi; Tanjung Aru (Aeropod) – Kudat, Beaufort – Sipitang Lawas, Sandakan – Pitas – Kudat, dan Tawau – Lahad Datu – Sandakan,” katanya, sambil menambah, hasil daripada kajian kebolehlaksanaan ini untuk perancangan yang lebih rapi di masa hadapan.
Shahelmey berkata, Sabah akan mempertahankan hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan berkenaan dengan urusan berkaitan keretapi.
“Namun demikian, kita melihat kepada model pelaksanaan ECRL di Semenanjung Malaysia, yang mana jajaran tersebut meliputi / merentasi beberapa negeri daripada Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan lain-lain.
“Boleh kita katakan, kita amat mengalu-alukan kajian kebolehlaksanaan ini, dan setelah kajian kebolehlaksanaan ini mendapat ‘outcome’yang diinginkan, maka Sabah, Sarawak dan negara Brunei Darussalam akan berbincang dengan lebih terperinci untuk tujuan pelaksanaan fizikal projek ini,” katanya.


































