Hajiji (kanan) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam semasa menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri yakin bahawa penerokaan Ekonomi Biru ini akan menjadi game changer yang boleh melonjakkan Sabah yang makmur ekonominya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, ini seterusnya menjadikan Sabah peneraju utama dalam Ekonomi Biru berasaskan laut dan sungai di Malaysia.
Menurut beliau, Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) merupakan sumber tenaga masa hadapan dan pelan jangka masa panjang yang berpotensi untuk menjadi sumber tenaga bersih yang konsisten dan mampan.
“Ini adalah sejajar dengan kehendak Ocean Thermal Energy Conversion Enactment 2024. Fokus utama teknologi OTEC ini diperkenalkan adalah penghasilan produk bernilai tinggi seperti hidrogen hijau, air mineral premium dan air industri sebagai suatu industri baharu untuk meningkatkan pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan.
“Ini juga selaras dengan inisiatif Ekonomi Biru Kerajaan Negeri Sabah yang bertujuan untuk memanfaatkan sumber maritim dan perairan dengan lestari serta berdaya tahan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada ADUN Dilantik, Datuk Seri Yong Teck Lee yang bertanya apakah kemajuan atau perkembangan dalam bidang OTEC sejak kelulusan Ocean Thermal Energy Conversion Enactment 2024 dan adakah pelabur-pelabur OTEC sedia membangunkan OTEC di Sabah.
Ketua Menteri berkata, Majlis Tenaga Sabah (MTS) telah meluluskan tiga syarikat tempatan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan sebagai langkah proaktif melibatkan pemain industri tempatan dalam pembangunan teknologi OTEC di Sabah.
Hajiji berkata, syarikat-syarikat tersebut telah diberikan tempoh masa satu tahun untuk memuktamadkan kajian mereka.
Beliau berkata, hasil kajian kebolehlaksanaan ini akan diusulkan semula kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan.
“Lanjutan daripada kelulusan Majlis Tenaga Sabah, Energy Commission of Sabah (ECoS) pula telah mengeluarkan Conditional Letter of Award (CLOA) kepada tiga buah syarikat tempatan tersebut bagi tujuan pembangunan tenaga lestari.
“Pihak Energy Commission of Sabah (ECoS) juga telah menerima minat daripada syarikat asing dari Australia dan United Kingdom untuk membangunkan OTEC di Sabah.
“Pihak Energy Commission of Sabah (ECoS) sedang mengkaji cadangan tersebut,” katanya.
Selain itu, katanya, kajian kebolehlaksanaan awal (Pre-feasibility) juga sedang dijalankan oleh pihak UTM OTEC melalui kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi tujuan pembangunan projek perintis loji OTEC di Sabah dengan pembiayaan dari pihak Shell MRE (Marine Renewable Program) yang dijangka siap pada akhir tahun 2024.
Hajiji berkata, OTEC merupakan unsur tenaga boleh diperbaharui yang memanfaatkan perbezaan suhu di antara air laut dalam dan permukaan air laut untuk penjanaan tenaga elektrik.
Beliau berkata, berdasarkan dapatan jururunding, Sabah boleh menghasilkan 20,000 megawatt, iaitu 15,000 megawatt di kawasan Pantai Barat dan 5,000 megawatt di kawasan Pantai Timur Sabah.
“Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah 2024 (SIBEC2024) yang telah
dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 19 Oktober 2024 yang lalu di Sabah International Convention Centre (SICC) telah menjadi platform penting untuk memperkenalkan dan mempromosikan OTEC kepada pelbagai pemain industri di dalam dan luar negara.
“Persidangan ini bukan sahaja menarik perhatian pelabur tetapi juga menjadi
medan untuk pertukaran idea dan teknologi. Dengan pelbagai forum dan
sesi perbincangan yang telah diadakan, SIBEC2024 telah membantu meningkatkan kesedaran tentang potensi OTEC dan menggalakkan kerjasama antara pihak Kerajaan, institusi penyelidikan dan pemain industri.”
Hajiji berkata, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) telah menggariskan empat komponen utama penerokaan ekonomi biru iaitu penuaian sumber hidupan
laut, pengekstrakan sumber tidak hidup serta penjanaan sumber baharu,
perdagangan dan perniagaan di dalam dan sekitar laut, serta respon terhadap cabaran kesihatan laut.
Katanya, ini adalah selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations).
Daripada empat komponen tersebut, kata Hajiji, terdapat sekurang-kurangnya 14 industri yang berpotensi untuk dibangunkan dan diterokai di Sabah.
1. Komponen pertama, iaitu penuaian sumber hidupan laut
(i) Merangkumi kawasan seluas 154,100 kilometer persegi selaras dengan kawasan Exclusive Economic Zone (EEZ) yang
diperuntukkan oleh United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982. Kawasan EEZ yang dimaksudkan meliputi 370.4 kilometer atau 200 batu nautika di Laut China Selatan serta sebahagian Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
(ii) Bagi tujuan penuaian sumber hidupan laut, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan yang pertama kepada Labuan Madani Marine Sdn. Bhd. bagi kapal SBF 68 dan SBF 66 pada 20 Disember 2023. Kapal SBF 68 dan Kapal SBF 66 telah masing-masing memulakan operasi sejak 25 April 2024 dan 15 Ogos 2024. Lesen ini merupakan
lesen pertama yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri sejak kuasa perlesenan perikanan laut dalam (C2) diserahkan kepada Kerajaan Negeri di bawah Malaysia Agreement 1963 (MA63).
(iii) Sekretariat Sabah Maju Jaya juga telah menerima cadangan untuk membangunkan off-shore fish cage daripada dua pelabur dalam negara. Cadangan ini sedang dianalisis oleh urus setia dari segi kebolehlaksanaannya. Pada peringkat permulaan, cadangan ini dijangka akan melibatkan pelaburan berjumlah 30 juta USD.
(iv) Kerajaan Negeri melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, sedang merancang untuk membangunkan pelabuhan tuna dan perikanan laut dalam bertaraf European Union (EU) di Kota Kinabalu sekali gus membangunkan semula pasar ikan sedia ada. Projek ini akan melibatkan kerjasama dengan syarikat swasta yang berpengalaman.
(v) Dalam sektor apotik atau farmaseutikal dan bioteknologi, pihak urus setia belum menerima sebarang cadangan pelaburan
daripada dalam dan luar negeri, walaupun telah banyak menerima pertanyaan berkaitan potensi pelaburan subsektor atau industri ini.
2. Komponen kedua ialah pengekstrakan sumber tidak hidup serta penjanaan sumber tenaga baharu.
(i) Antara industri yang termasuk dalam komponen ini adalah tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas, penyahgaraman air laut dan hasil galian mineral dasar laut.
(ii) Dalam industri penyahgaraman air laut, Kerajaan Negeri melalui pihak JETAMA Sdn. Bhd. telah berjaya membawa inovasi Desalination System yang akan dipasang di taman perindustrian POIC Lahad Datu. Projek ini akan dijalankan melalui usaha sama dengan Kementerian Pembangunan
Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Sabah dan akan dikendalikan melalui kaedah Proof of Concept (POC).
(iii) Program POC ini dijangka bermula pada Mac 2025 selepas pemasangan sistem tersebut selesai. Penilaian Projek ini akan dipantau dalam masa tiga bulan dan sekiranya berjaya, air laut yang sudah dinyahgaram akan dibekalkan kepada pelaburpelabur industri di POIC Lahad Datu. Jumlah air industri yang bakal disalurkan oleh sistem ini adalah sebanyak 2.5 juta liter sehari (JHL) dan boleh ditingkatkan pada bila-bila masa
bergantung kepada permintaan industri.
(iv) Bagi maksud industri pelancongan, Sabah yang memiliki 407 pulau dan 2,383 kilometer iaitu pantai terpanjang, berpotensi untuk diterokai dan dibangunkan secara lestari sebagai aset
pelancongan. Penerokaan peluang ekonomi untuk pulau-pulau di Sabah harus mengambil kira kesejahteraan dan kesihatan pulau selaras dengan tuntutan konsep daya tampung bagi memastikan kelestarian pulau.
(v) Untuk subsektor perlindungan persisir pantai, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah telah melancarkan Sabah Mangrove Action Plan 2024-2033 pada 29 Oktober 2024 yang lalu bagi memastikan kawasan persisir pantai kita terpelihara. Ini merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri untuk mengurangkan dan mengatasi pemanasan global serta pengurangan karbon (decarbonisation).
(vi) Malaysia memiliki 4.7 peratus daripada kawasan bakau dunia, menduduki tempat keenam selepas Indonesia, Brazil, Australia, Mexico dan Nigeria. Berdasarkan kajian pada tahun 2022, kawasan bakau Sabah mempunyai kawasan hutan bakau terbesar di Malaysia iaitu 390,526 hektar (60 peratus) dan selebihnya terdapat di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
(vii) Pemuliharaan hutan bakau menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah SDG 1: Tiada Kemiskinan; SDG 2: Sifar Kelaparan; SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi; SDG 8: Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi; SDG 12: Penggunaan dan Penghasilan yang
Bertanggungjawab; SDG 13: Perubahan Iklim; SDG 14: Kehidupan di Bawah Air dan SDG 15: Kehidupan Darat.
4. Komponen keempat adalah respon terhadap cabaran kesihatan lautan, mencakupi Teknologi dan Penyelidikan dan Pembangunan, Karbon Biru, Perlindungan dan Pemulihan Habitat serta Pengasimilasian Nutrien dan Sisa.
(i) Sebagai langkah Kerajaan Negeri dalam menangani cabaran kesihatan lautan, Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan
Keselamatan Maritim di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah ditubuhkan dan dirasmikan pada 1 November 2024.
(ii) Selain itu, Syarikat Red Sea Reef Builders yang berpusat di Dubai, United Arab Emirates (UAE) telah mengemukakan kertas cadangan untuk menawarkan perkhidmatan kapal robotik pemantau keadaan dasar laut yang akan dikawal melalui bilik kawalan di darat. Robot pemantau ini bukan sahaja berupaya memantau keadaan dasar laut bahkan mampu membantu usaha pemuliharaan ekosistem marin. Tawaran ini sedang dikaji dan dianalisa oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya.
































