Tangkap layar satu rakaman yang tular di Facebook memaparkan kenderaan PDRM merempuh kereta pengguna jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan.
PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat kemalangan membabitkan insiden kereta pengiring orang kenamaan (VIP) yang merempuh kenderaan orang awam dalam kejadian di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) di Seremban seperti yang tular di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan yang melibatkan dua buah kereta tersebut.
“JSPT sedang menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan diminta memberi maklumat untuk melengkapkan siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka menunjukkan sebuah kenderaan petugas PDRM sedang mengiringi VIP telah merempuh kereta jenis Proton Saga seperti yang dimuat naik di sebuah laman Facebook sejak petang kelmarin.
Rakaman tersebut memaparkan kereta pengiring itu memandu laju ketika hujan sebelum melanggar bahagian belakang Proton Saga itu.
































