Seorang lelaki menyembur alkohol ke arah kera ekor panjang untuk menghalangnya mencuri barangan di Lopburi, Thailand.
KELIBAT kumpulan besar monyet yang mencuri makanan dan ‘menyergah’ pelancong di bandar bersejarah Lopburi di Thailand mungkin tidak akan kelihatan lagi selepas ini.
Menurut Utusan Malaysia, sebelum Covid-19 menutup Lopburi, sebahagian besar penduduknya secara santai memberi makan kepada lebih 3,000 monyet berekor panjang yang tinggal bersebelahan malah mengadakan jamuan buah-buahan tahunan untuk haiwan itu.

Monyet dan spesies kera yang dipercayai membawa ‘nasib baik’ itu juga mendiami hutan berhampiran dan telah lama menjadi sebahagian daripada sejarah bandar berkenaan.
Tetapi selepas Lopburi keluar daripada penutupan akibat pandemik pada pertengahan 2022, penduduknya mendapati monyet-monyet di kawasan itu menjadi semakin tidak terkawal kerana lama tidak diberi makan.
Pasukan kera itu mula mengambil alih bangunan, sering berhadapan dengan penduduk, mencuri makanan dan menyebabkan kemalangan.
Malah wujud ‘geng monyet samseng’ yang sering bergaduh dan mengejutkan penduduk tempatan hingga mereka terpaksa mengurung diri di dalam rumah kerana takut dicederakan haiwan itu.
“Monyet ini mula merompak dengan segala cara. Mereka bersedia untuk merampas apa sahaja dari tangan anda, apa-apa beg yang mereka syak mengandungi makanan atau barangan seperti telefon bimbit,” kata Penyelidik Tempatan Ecoexist Society, Wisarut Somngam yang mengkaji situasi itu.
Ketika aduan memuncak selepas Februaril lalu, pihak berkuasa yang bersenjatakan lastik dan perangkap bertindak menangkap monyet-monyet itu dan memandulkan haiwan itu untuk mengurangkan populasinya.
“Kami perlu mengurung diri di dalam rumah dan terpaksa memasang palang besi untuk perlindungan.
“Kami seakan terpenjara dan tidak mempunyai kebebasan walaupun di rumah sendiri. Kumpulan monyet ini bersedia untuk mencuri apa sahaja yang mereka boleh daripada kami,” kata Jirat Buapromart, 54.
Menjelang Mei, pihak berkuasa meningkatkan kawalan terhadap monyet itu, termasuk usaha pengembirian yang bermula semasa penularan wabak Covid-19.
“Matlamat kami adalah untuk membuang organ reproduktif semua monyet-monyet ini.
“Haiwan-haiwan ini kemudiannya akan dimasukkan ke dalam sangkar khas di mana mereka akan dijaga dengan baik,” kata doktor haiwan tempatan, Patarapol Maneeorn dari jabatan hidupan liar kerajaan.
Selepas lebih lima bulan kempen kerajaan membasmi kekacauan dan amukan haiwan itu, Lopburi akhirnya kembali tenang, dengan kira-kira 1,600 monyet sudah berada dalam kurungan.
Sesetengah kumpulan hak asasi haiwan bersetuju dengan pihak berkuasa untuk mengembiri monyet, tetapi tidak menyokong tindakan memasukkannya ke dalam sangkar.
Tetapi bagi kebanyakan penduduk, usaha itu memberi kelegaan besar kepada mereka dan memudahkan urusan seharian tanpa rasa takut diserang monyet lagi.
“Perniagaan juga bertambah baik. Jika ada monyet, tiada pelanggan yang berani datang dan meletakkan kereta mereka di sini,” kata pembuat jam, Chalit Nithiwkram, 64.


































