NEW YORK: Pegawai kesihatan mengesahkan kes pertama jenis baharu virus mpox yang dikenal pasti di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, individu yang dijangkiti itu dilaporkan melawat Afrika Timur dan dirawat di California Utara selepas kembali ke AS.
Menurut Jabatan Kesihatan Awam California, gejala pada pesakit semakin pulih dan risiko kepada orang ramai adalah rendah.
“Individu itu menjalan arahan kuarantin di rumah dan pekerja kesihatan sudah menghubungi kontak rapat sebagai langkah berjaga-jaga,” kata jabatan itu.
Mpox ialah jangkitan virus yang berada dalam keluarga sama penyebab cacar.
Ia adalah endemik di bahagian Afrika, di mana ramai dijangkiti melalui gigitan tikus atau haiwan kecil.
Gejala yang lebih ringan termasuk demam, menggigil dan lenguh badan.
Dalam kes yang lebih serius, pesakit boleh mengalami ruam an lepuh pada muka, tangan, dada dan alat kelamin.
Awal tahun ini, saintis melaporkan kemunculan bentuk baharu mpox di Afrika yang tersebar melalui kontak rapat termasuk hubungan seks dan merebak secara meluas di timur dan tengah Afrika.
Tetapi dalam kes yang dikenal pasti pada pengembara di luar benua itu, penyebaran sangat terhad, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 3,100 kes yang disahkan telah dilaporkan sejak akhir September dengan sebahagian besarnya berlaku di Burundi, Uganda, dan Republik Demokratik Congo.
Setakat ini, kes pengembara dengan jenis mpox baharu dilaporkan di Jerman, India, Kenya, Sweden, Thailand, Zimbabwe dan United Kingdom.
Pegawai kesihatan awal bulan ini berkata, keadaan di Congo kelihatan semakin stabil.
CDC Afrika menganggarkan Congo memerlukan sekurang-kurangnya tiga juta vaksin mpox untuk menghentikan penyebaran dan tujuh juta vaksin lagi untuk seluruh Afrika.
Penyebaran virus itu kebanyakannya melalui penularan seksual serta kontak rapat dalam kalangan kanak-kanak, wanita hamil dan kumpulan lain yang terdedah.
Wabak semasa adalah berbeza daripada wabak global mpox 2022 di mana lelaki gay dan biseksual merupakan sebahagian besar kes.


































