KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang menyusun gerak kerja yang lebih tersusun dan efektif untuk meraih potensi hasil baharu daripada Ekonomi Biru.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan Negeri komited untuk mengorak langkah dalam penerokaan khazanah laut dan maritim sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan Sabah dalam penerokaan Ekonomi Biru di peringkat antarabangsa.
Justeru itu, katanya, penganjuran Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang telah diadakan pada 19 hingga 20 Oktober 2024 dan dihadiri oleh seramai 3,398 peserta dari dalam dan luar negara sebagai platform untuk berinteraksi dan berkongsi ilmu pengetahuan global bersama pakar dalam bidang ini.
“Hasil daripada persidangan ini, Kerajaan Sabah akan merangka Sabah Blue Economic Framework sebagai hala tuju Kerajaan Sabah dalam pembangunan ekonomi berimpak tinggi ini.
“Usaha bersifat futuristik ini membuktikan bahawa kerajaan bukan hanya serius dalam membangunkan ekonomi masa kini, tetapi juga prihatin untuk menyediakan asas yang kuat bagi membina ekonomi masa depan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Sabah hari ini.
Masidi berkata, khazanah ini perlu ‘dipagar’ lebih awal dan ‘dipugar’ terlebih dahulu, sebelum kita dapat menuai hasilnya pada tahun akan datang.
Katanya, kajian saintifik akan dilaksanakan bagi memastikan Kerajaan Sabah memperolehi data yang mencukupi, tepat dan komprehensif.
“Menyedari hakikat itu, kerjasama di antara pihak Kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti setempat adalah diperlukan demi memastikan potensi Ekonomi Biru di negeri ini bukan sahaja dapat direalisasikan untuk generasi kontemporari, tetapi juga menyediakan landasan ekonomi yang kukuh untuk generasi akan datang.”


































