Masidi menunjukkan beg yang mengandungi teks Ucapan Belanjawan Sabah 2025.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM6.421 bilion untuk tahun depan, yang tertinggi dalam sejarah, berbanding anggaran hasil negeri yang disasar mencapai RM6.445 bilion.
Belanjawan itu yang dibentangkan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, menyaksikan lebihan sebanyak RM24.08 juta.
Katanya, dengan tema ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ untuk belanjawan negeri tahun depan, keutamaan peruntukan yang dikeluarkan adalah untuk kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita. Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan penting bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini.
“Bagi mencapai aspirasi Sabah Maju Jaya yang menjadi asas kepada pelan pembangunan dan pertumbuhan negeri Sabah, maka hasil negeri perlu kekal kukuh untuk menjayakan hasrat dan matlamat dasar kita bagi melonjakkan pembangunan demi manfaat rakyat.
“Bagaimanapun, setelah mengambil kira kepada unjuran kutipan hasil pada tahun hadapan, Kerajaan Sabah telah merangka Belanjawan Negeri 2025 dengan menekankan dasar perbelanjaan berhemat dan mengelak pembaziran.
“Oleh itu, Belanjawan Negeri 2025 disediakan berlandaskan “pomogunan do sogigisom” yang diambil daripada dialek Dusun bermaksud pembangunan lestari berasaskan kebersamaan dengan berpandukan tonggak-tonggak utama iaitu menyokong pembangunan lanjut sektor-sektor produktif, termasuk menarik pelaburan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan negeri; menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup melalui pendekatan inklusif; memesatkan pembangunan modal insan dengan peningkatan pengetahuan, kemahiran, produktiviti dan inovasi serta memastikan rakyat mendapat kehidupan yang sejahtera; meningkatkan pembangunan pembolehdaya (enablers) khususnya infrastruktur asas fizikal, utiliti dan kemudahan awam bagi menyokong pertumbuhan dan pengembangan ekonomi; dan meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian Kerajaan Sabah,” katanya.
Masidi berkata, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat adalah dua perkara yang berkait rapat kerana tahap kemajuan ekonomi akan mempengaruhi taraf hidup rakyat.
Katanya, dengan strategi mengagihkan peruntukan kepada sektor-sektor produktif di bawah Belanjawan ini, Kerajaan yakin ekonomi negeri akan bertambah kukuh ke arah meningkatkan lagi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, Belanjawan Negeri 2025 disediakan dengan agihan Anggaran Perbekalan dan Anggaran Pembangunan mengikut Kementerian seperti berikut:
Kementerian Kewangan: RM3.073 bilion Perbekalan, RM5.00 juta Pembangunan;
Kementerian Kerja Raya: RM1.097 bilion Perbekalan, RM249.86 juta Pembangunan;
Jabatan Ketua Menteri: RM776.39 juta Perbekalan, RM210.87 juta Pembangunan;
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan: RM373.24 juta Perbekalan, RM148.13 juta Pembangunan;
Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah: RM106.43 juta Perbekalan, RM243.50 juta Pembangunan;
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan: RM227.69 juta Perbekalan, RM19.32 juta Pembangunan;
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi: RM181.35 juta Perbekalan, RM14.65 juta Pembangunan;
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat: RM150.51 juta Perbekalan, RM11.91 juta Pembangunan,
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar: RM128.20 juta Perbekalan, RM27.07 juta Pembangunan,
Kementerian Belia dan Sukan Sabah: RM90.17 juta Perbekalan, RM11.29 juta Pembangunan,
Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan: RM29.15 juta Perbekalan; RM34.90 juta Pembangunan,
Perbelanjaan Tanggungan: RM140.58 juta Perbekalan; dan
Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk Dalam Kementerian- Kementerian: RM46.97 juta Perbekalan.
“Saya ingin menegaskan betapa pentingnya untuk kita berbelanja mengikut keupayaan berasaskan sumber hasil yang mampu dikutip. Semua pihak perlu mengutamakan pengurusan yang cekap dan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sabah untuk memantapkan kedudukan kewangan di samping menangani masalah ketirisan dan pembaziran hasil,” kata Masidi.
Beliau berkata, anggaran hasil tahun 2025 dirangka dengan mengambil pendekatan semi konservatif agar kedudukan kewangan Kerajaan Sabah kekal stabil dengan mengunjurkan sebanyak RM6.445 bilion mengikut pecahan iaitu, Hasil Cukai berjumlah RM2.744 bilion yang melibatkan Cukai Jualan Negeri (CJN) RM2.597 bilion, sewa tanah RM108.00 juta, serta cukai pelabuhan dan dermaga RM39.50 juta; Hasil Bukan Cukai sebanyak RM2.551 bilion yang merangkumi penyumbang utama seperti Royalti Petroleum RM1.297 bilion, faedah dan perolehan dari pelaburan RM512.47 juta, jualan air RM304.00 juta; premium tanah RM152.00 juta, serta Royalti Bayaran Keluaran Hutan dan Eksport Kayu Diproses RM134.50 juta; dan Terimaan Bukan Hasil iaitu Terimaan dan Sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran yang berjumlah RM1.150 bilion.
Katanya, hasil merupakan nadi utama untuk melaksana dan melancarkan perbelanjaan pengoperasian serta program dan projek pembangunan negeri. Dengan pungutan hasil yang baik, kedudukan kewangan negeri akan kekal kukuh dan stabil.
Menyedari hakikat ini katanya, Kerajaan Sabah telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti memperkasa setiap aspek penguatkuasaan bagi menangani ketirisan hasil; meningkatkan pungutan hasil negeri dengan pematuhan yang berterusan terhadap Pekeliling Kementerian Kewangan Bil.1/2022; menambah baik pengurusan pungutan hasil Kerajaan Negeri Sabah; memastikan pematuhan terhadap Surat Pekeliling Kementerian Kewangan berkenaan Garis Panduan Terimaan Hasil Negeri Secara Elektronik Melalui Kaedah Tanpa Tunai (Cashless); mempergiatkan usaha untuk mengurangkan jumlah tunggakan hasil bagi Kementerian atau Jabatan yang terlibat termasuk menetapkan sasaran Key Performance Indicator (KPI) pengurangan tunggakan hasil; meneroka sumber-sumber hasil baharu yang berpotensi untuk meningkatkan pungutan hasil negeri yang mana, pada bulan April Kerajaan Sabah telah memperkenalkan dua Cukai Jualan Negeri iaitu CJN ke atas Pasir Silika/Silika dan CJN ke atas Produk Biojisim Kelapa Sawit, selain memperluas sumber pungutan hasil dengan mengenakan CJN ke atas emas dalam masa terdekat; menyemak dan mengkaji semula kadar yuran/lesen/permit/caj ke atas perkhidmatan Kerajaan dan kadar sewaan yang sudah tidak relevan dengan kadar pasaran semasa; dan meneruskan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan berkenaan Pemberian Khas sepertimana yang dinyatakan dalam Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.
“Mensejahterakan rakyat merupakan tanggungjawab dan impian setiap pemerintah. Namun begitu, impian tanpa usaha dan strategi hanya akan menjadi sekadar mimpi.
“Lantaran itu, meskipun kita mendepani dunia dan kehidupan yang semakin mencabar, ia bukanlah penghalang untuk terus berusaha mencari sumber yang berpotensi agar hasil negeri sentiasa berkembang kukuh dan mampan.
“Saya menyeru dan mengingatkan kepada semua pihak yang terlibat agar lebih bertanggungjawab dan berganding bahu untuk merealisasikan semua usaha dan strategi yang telah dirangka. Gunakan pengalaman, pengetahuan dan keupayaan dalam mencapai apa juga yang telah dirancang. Semoga kejayaan dan hasil yang kita perolehi akan dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini. Insya-Allah.”
Masidi berkata, dalam menyediakan Belanjawan Negeri 2025, Kerajaan Sabah telah merangka beberapa strategi menerusi sesi libat urus, petunjuk-petunjuk dan ramalan ekonomi secara menyeluruh sebagai langkah persediaan menghadapi senario ekonomi yang tidak menentu pada tahun 2025.
Bagi maksud melicinkan dan memantapkan pengurusan Kerajaan Sabah, beliau berkata, sebanyak RM6.421 bilion dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.441 bilion diperuntukkan untuk membiayai Perbelanjaan Mengurus dan RM980 juta untuk Pencaruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
Katanya, peruntukan bagi Perbelanjaan Mengurus meningkat sebanyak RM719.90 juta bersamaan 13 peratus pada tahun 2025 berbanding anggaran asal tahun 2024 iaitu RM5.701 bilion yang bertujuan untuk menampung Perbelanjaan Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.
“Sebanyak RM903.91 juta dicadangkan untuk Perbelanjaan Emolumen bagi membiayai gaji penjawat awam negeri. Jumlah ini mencatatkan kenaikan sebanyak RM95.85 juta atau 12 peratus berbanding bajet asal tahun ini disebabkan kenaikan gaji tahunan, pelarasan kenaikan gaji 8 peratus (Fasa 1) selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan berkuatkuasa pada 1 Disember 2024 dan pertambahan pelantikan baharu penjawat awam negeri.
“Perbelanjaan Berulang dicadangkan sebanyak RM2.27 bilion bersamaan 35 peratus iaitu kenaikan sebanyak RM66.90 juta atau 3 peratus berbanding peruntukan asal tahun 2024. Peningkatan tersebut antara lain bagi menampung tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, program penyenggaraan jalan raya dan jambatan termasuk bagi kerja-kerja mencegah dan memulihkan kerosakan akibat bencana alam; penyenggaraan bangunan kerajaan; operasi pengeluaran air serta penyenggaraan dan pembaikan sistem perpaipan; caruman kepada kuasa-kuasa tempatan; serta perbelanjaan untuk Ketua-Ketua Adat negeri.
“Agihan Perbelanjaan Khas dicadangkan sebanyak RM3.247 bilion bersamaan 51 peratus, mencatatkan kenaikan sebanyak RM557.14 juta atau 21 peratus daripada peruntukan asal tahun 2024. Kenaikan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Sabah antaranya menangani isu kemudahan infrastruktur terutamanya aktiviti bagi memulihkan bekalan air dan perkhidmatan pengurusan loji air di bawah kontrak outsource; penyenggaraan jalan raya, jambatan dan cerun; pembinaan baharu dan penyelenggaraan kemudahan awam seperti dewan serbaguna dan pasar rakyat; pelbagai program keterjaminan makanan; serta bayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).”
Perbelanjaan Pembangunan sangat penting bagi melonjak pertumbuhan ekonomi negeri. Justeru itu, Masidi mencadangkan sebanyak RM1.299 bilion diperuntukkan pada tahun 2025 untuk Perbelanjaan Pembangunan. Jumlah ini merangkumi peruntukan negeri sebanyak RM976.50 juta dan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM322.97 juta dalam bentuk Pinjaman Persekutuan dan Bayaran Balik Persekutuan.
Agihan peruntukan Pembangunan mengikut sektor adalah seperti yang berikut:
• Sektor Ekonomi: RM558.81 juta atau 57 peratus
• Sektor Sosial: RM395.13 juta atau 41 peratus
• Sektor Pentadbiran Am: RM22.55 juta atau 2 peratus
Terdahulu, Masidi berkata, walaupun ekonomi negeri Sabah sedang berada di fasa pemulihan, adalah penting bagi Kerajaan Sabah untuk melaksanakan dasar fiskal yang berhemat dan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi.
“Fokus utama perlu diberikan kepada usaha membina daya tahan ekonomi melalui pelaburan yang bijak serta memperkukuh dasar-dasar dalaman yang mampu meningkatkan produktiviti dan mempromosikan pembangunan mampan dalam sektor-sektor utama seperti pertanian, pelancongan dan tenaga hijau.”


































