Azizah mempengerusikan Program Perbincangan Meja Bulat Siri Pertama (Sektor Awam) Kepimpinan Wanita di Sabah.
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Inisiatif Kepimpinan Wanita (WLIC) diharapkan dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan di Sabah.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, WLIC amat penting, memandangkan penanda aras 30 peratus penyertaan wanita dalam kumpulan pembuat keputusan belum lagi dicapai hingga kini.
Katanya, WLIC yang ditubuhkan pada Julai lalu diharapkan dapat menjadi mekanisme pemantauan bagi merealisasikan sasaran tersebut.
“Sehingga hari ini, kita masih belum mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat kumpulan pembuat keputusan. Sebagai seorang pemimpin wanita dan dalam peranan saya di IDS, saya percaya bahawa kita perlu menilai semula pencapaian ini dan mengenal pasti halangan yang wujud,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Perbincangan Meja Bulat Siri Pertama (Sektor Awam) Kepimpinan Wanita di Sabah yang berlangsung di sini baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Azizah turut menyentuh tentang cabaran besar yang perlu dihadapi untuk mencapai kesamarataan gender dalam pembangunan, terutama dalam aspek kepimpinan wanita di Sabah.
“Walaupun wanita semakin ramai yang berpendidikan tinggi dan berkelayakan, penyertaan mereka dalam kepimpinan sektor awam dan swasta masih belum mencerminkan potensi sebenar,” katanya.
Di Sabah, hanya sekitar 14 peratus wanita menduduki jawatan dalam kumpulan pembuat keputusan di sektor awam, dengan majoriti masih berada di peringkat sokongan dan perkeranian. Ini menunjukkan wujudnya halangan bagi wanita untuk mencapai peranan strategik dalam organisasi.
Azizah turut merujuk kepada Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2022, yang menunjukkan jurang ketara dalam peluang dan penyertaan ekonomi serta penguasaan politik wanita. Skor bagi penguasaan politik pula hanya 0.102, menandakan cabaran besar dalam meningkatkan peranan wanita dalam bidang ini.
Di Sabah, hanya 18 peratus wanita memegang jawatan Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan, manakala 26 peratus daripada ahli lembaga pengarah dan CEO di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah wanita.
“Sesi meja bulat ini merupakan langkah pertama ke arah merangka strategi komprehensif bagi mengatasi cabaran, dengan objektif utama memastikan pemerkasaan wanita dilaksanakan secara konsisten,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif ini bertujuan meningkatkan penyertaan wanita di peringkat pengurusan, menggalakkan pengaruh wanita dalam penggubalan dasar di Sabah, serta membentuk pemimpin wanita berwibawa dan berpotensi untuk memimpin.
































