Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, semalam selepas menewaskan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark 15-21, 21-17, 21.
PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus konsisten selepas mara ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, semalam slepas menewaskan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark 15-21, 21-17, 21-9 untuk menempah pertemuan dengan beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin esok.
Menurut Utusan Malaysia, Wang Chi Lin yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 bersama pasangan baharunya Hsiang Chieh mengetepikan beregu profesional Malaysia, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-14, 21-19.
Sekiranya Aaron-Wooi Yik berjaya melepasi halangan itu, peluang mereka untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik pada Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, Disember ini semakin cerah lebih-lebih lagi dengan penarikan diri beregu No. 1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Aaron ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia dan Wooi Yik masih belum hilang penat selepas menyertai Korea Masters, minggu lepas, tetapi, amat penting untuk mereka bertahan bagi menghidupkan peluang ke Jelajah Dunia Akhir. Kami memang sangat keletihan, tetapi saya rasa kami masih boleh bertahan, hanya berbaki dua minggu untuk menamatkan saingan ini,” katanya yang menghuni ranking ke-10 dalam Jelajah Dunia BWF.
Wooi Yik pula memberitahu, amat penting untuk mereka bekerja keras dan akan terus berusaha memberikan yang terbaik.
“Sama ada kami berjaya layak atau pun tidak, kami akan terus cuba memberikan yang terbaik memandangkan kami masih belum 100 peratus daripada prestasi sebenar. Sasaran kami ialah perlahan-lahan kembali mendapatkan persembahan yang dimahukan dan bermain habis-habisan untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir,” ujarnya.
Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, nasib berbeza menimpa dua pasangan negara apabila gandingan profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien mengetepikan Jesper Toft Amalie Megalund dari Denmark 22-20, 11-21, 21-12 manakala, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tumpas kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand 15-21, 12-21 manakala beregu profesional wanita Malaysia, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang terpaksa akur kepada gandingan tuan rumah, Kaho Osawa-Mai Tanabe 17-21, 16-21.