SINGAPURA: Suspek lelaki berusia 37 tahun akan didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya, semasa insiden tikaman melibatkan seorang paderi Gereja Katolik St Joseph di Bukit Timah, Sabtu lalu.
Jika didapati bersalah, suspek yang tidak dinamakan oleh pihak polis berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda atau rotan.
Pihak polis akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan lelaki itu di Institut Kesihatan Mental bagi penilaian psikiatri.
Jelas pihak polis, buat masa ini tiada bukti yang menunjukkan ia adalah serangan bermotifkan agama.
“Suspek menggunakan pisau boleh lipat dalam serangan itu. Empat senjata lain turut ditemukan dan kita dapati suspek bukan orang yang biasa mengunjungi gereja itu,” kata polis dalam sidang akhbar.
Sementara itu, mangsa, Father Christopher Lee yang dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan berada dalam keadaan stabil dan sudah sedarkan diri.
Dalam kejadian kelmarian, Lee diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau kira-kira pukul 5.30 petang.
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian berjaya melucutkan senjata suspek sebelum dia ditahan oleh pihak polis.
Suspek merupakan seorang lelaki Singapura beragama Kristian yang mempunyai kesalahan berkaitan dadah.
Berdasarkan siasatan awal, pihak polis percaya suspek bertindak bersendirian dan serangan itu bukan tindakan pengganas.


































