KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus menerokai sumber-sumber baharu untuk menyokong sumber ekonomi sedia ada, supaya pertumbuhan ekonomi negeri dapat terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Pada masa sama, beliau berkata, pelan pembangunan juga akan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan.
“Untuk itu, Kerajaan Negeri bertekad menerokai potensi Ekonomi Biru atau Blue Economy, iaitu sumber baharu dalam pembangunan ekonomi negeri melalui penerokaan khazanah laut yang berpotensi tinggi untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui, serta lain-lain produk industri yang boleh diperolehi daripadanya.
“Kedudukan Sabah yang luar biasa strategik; dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes, sangat sesuai untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru yang disebut-sebut akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini untuk beberapa dekad mendatang.
“Dalam pada itu, kita juga menyedari bahawa modal insan merupakan aset terpenting dalam pembangunan negari. Justeru, pembangunan modal insan menjadi antara intipati Hala Tuju SMJ yang lebih holistik dan inklusif. Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah menambah sekali ganda peruntukan untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menjadikannya kini berjumlah RM118 juta, berbanding hanya RM50 juta sebelumnya.
“Penambahan ini sudah tentu berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakkan tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi pengajian tinggi.
“Kerajaan Negeri juga telah umumkan pemberian subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 seorang kepada anak-anak Sabah yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan. Dan baru-baru ini, ketika menghadiri Konvensyen Mahasiswa GRS, saya telah juga mengumumkan pemberian subsidi pengangkutan sebanyak RM300 kepada pelajar Sabah yang belajar di dalam negeri,” kata beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.
Seiringan dengan itu, Hajiji berkata, Kerajaan juga menyediakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebagai pelengkap kepada bantuan pendidikan sedia ada selain penubuhan Yayasan Kebajikan Sabah, beserta beberapa insentif lain dengan objektif untuk membantu rakyat yang sangat-sangat memerlukan bantuan segera, terutama mereka yang kurang berkemampuan.
Katanya, membasmi kemiskinan, terutama miskin tegar, adalah antara agenda penting Kerajaan Negeri.
“Ke arah itu, Kerajaan mengambil beberapa pendekatan agresif dengan menawarkan pekerjaan kepada Ketua atau ahli dalam Isi Rumah golongan berkenaan. Program ini melibatkan kerjasama beberapa agensi Kerajaan dengan sektor swasta, yang diselaraskan oleh Sekretariat SMJ, merupakan program yang berterusan. Sebagai contoh, dua buah syarikat pelabur yang beroperasi di KKIP, telah menawarkan peluang pekerjaan kepada seramai 4,000 orang anak-anak tempatan, dan beberapa orang daripadanya adalah daripada golongan miskin tegar berkenaan.”
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, dalam menoktahkan miskin tegar ini juga, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan, di kesemua 73 kawasan DUN melibatkan kos berjumlah RM250 juta.
“Untuk makluman, melalui pemeteraian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan Petronas pada Disember 2021, kita telah memperoleh penyertaan yang lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah, di mana Kerajaan Negeri diberikan 50 peratus ekuiti (pegangan saham) di Lapangan Minyak dan Gas di Semarang, 25 peratus di Samur Petrochemical Plant, 25 peratus lagi di ZLNG di Sipitang, dan 10 peratus di Petronas LNG9. Selain itu, pihak Petronas telah juga membayar 5 peratus cukai jualan kepada Kerajaan Negeri sejak tahun 2021.”
Hajiji berkata, sebagai rakan kongsi dalam pembentukan negara bangsa Malaysia, menjadi tanggungjawab mereka untuk sentiasa menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan – lebih-lebih lagi jika Kerajaan Persekutuan itu dibentuk kerana sokongan dan dukungan bersama.
“Lumrahnya, di dalam Kabinet Persekutuan akan ada wakil-wakil daripada Sabah dan juga Sarawak, menjadikan dua wilayah di Borneo ini sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan yang dibentuk itu – kerana hakikatnya, kita adalah rakan kongsi dalam negara Malaysia.
“Justeru, hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, harus dijaga dengan baik, malah perlu lebih akrab bagi menjamin kerjasama padu dan jitu untuk kepentingan kita bersama.
“Demikianlah antara pendekatan dan strategi kita selama empat tahun kebelakangan ini, berbaik-baik dengan jiran tetangga, berbaik-baik dengan semua negeri dan tentunya berbaik-baik dengan Kerajaan Pusat, kerana kita adalah antara pendukungnya! Semua ini kita lakukan semata-mata untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.
“Semoga usaha murni yang kita perjuangkan bersama-sama ini, atas nama Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus – ke arah memakmurkan negeri dan membela rakyat – akan dapat dipertingkat dan diperhebatkan lagi pada masa-masa mendatang dengan sokongan dan dukungan padu semua pihak,” katanya
Beliau memperingatkan pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat untuk merapatkan saf kepimpinan dan memperkukuhkan seluruh jentera parti.
“Rakyat di luar sana jangan dilupa. Aktiviti parti mesti melibatkan rakyat jelata bukan ahli parti semata-mata. Mendekati dan menyantuni rakyat bukan tugas kerajaan sendirian, tetapi itu adalah juga peranan YB-YB Gagasan Rakyat dan YB-YB Gabungan Rakyat Sabah, termasuk tanggungjawab semua pimpinan Gagasan Rakyat!
“Apabila tiba masanya nanti, ketika mana diumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri, maka pada saat itu, bersedialah untuk bekerja lebih keras, bekerja siang dan malam, demi memastikan parti kita, Parti Gagasan Rakyat Sabah dan GRS, tetap menjadi pilihan utama!
“Kita akan pulangkan kembali kuasa kepada rakyat untuk diputuskan melalui peti undi, sesuai dengan amalan demokrasi. Sebagai Government of the day, GRS-PH Plus, akan terus berkhidmat dan berbakti selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir. Menjelang pilihan raya nanti, kita akan terus menawarkan parti ini dan GRS kepada rakyat – kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan negeri yang tercinta dan mensejahterakan rakyat yang dikasihi.
“Kerajaan ini tetap menjadi platform terbaik untuk kita memantapkan gabungan demi meneruskan legasi perjuangan.”
Hajiji berkata, pilihan raya yang mendatang menuntut mereka semua untuk memperkukuh kerjasama, mengeratkan perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan Gagasan Rakyat dan GRS adalah pilihan terbaik untuk seluruh rakyat.
“Kerana kita bukan sahaja berupaya
dan berkebolehan dalam memikul amanah, tetapi juga ikhlas dalam perjuangan dan jujur dalam mencurahkan khidmat bakti dimana seluruh rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan menyandarkan harapan.”
Beliau berkata, sepanjang tempoh empat tahun lalu, Kerajaan yang mereka dukungi telah membawa banyak perubahan positif dalam politik, dalam ekonomi dan dalam semua aspek pembangunan negeri.
Katanya, pendekatan Kerajaan yang inklusif, telah membawa kepada kestabilan dan keharmonian berasaskan prinsip akomodatif.
“Lebih utama, selama empat tahun ini, kita telah berjaya memperkukuhkan jambatan yang menghubungkan Sabah dengan Persekutuan, lantas memperkukuh kerjasama dan persefahaman dalam isu-isu penting berkaitan keselamatan, kedaulatan negeri, hak-hak Sabah dalam penerokaan minyak dan gas, dan lebih signifikan hak-hak Sabah di bawah MA63,” ujarnya.
Beliau berharap, agar semangat perjuangan yang membara di dalam dewan ini, akan terus disemarakkan sehingga tiba Pilihan Raya.
“Saya berharap, semangat jitu dalam
perjuangan yang dipamerkan oleh seluruh perwakilan pada hari ini, akan berkekalan
sehingga ke perhimpunan yang akan datang! Ayuh! Kita pertahankan Gagasan Rakyat! Ayuh! Kita pertahankan Gabungan Rakyat Sabah! Ayuh! Kita pertahankan Kerajaan yang kita dukungi ketika ini! Mari kita memperteguhkan perjuangan selaras pepatah yang berbunyi, “Bersatu dalam perkara yang kita sepakati dan bermusyawarah dalam perkara yang kita selisihi”.
“Jika kita bergerak dalam satu pasukan yang jitu, bergerak dalam satu irama yang sama, bergerak atas nama Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward
(Sabah Melangkah Ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Makmur) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu), insya-Allah, kita akan dapat menolak segala anasir yang cuba memperlekehkan dan mematahkan agenda pembangunan kita, sekaligus meletakkan posisi kita kehadapan sebagai pejuang yang mempelopori Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Marilah kita bangkit mempertahankan Kerajaan yang terbina di atas tembok demokrasi ini. Bangkit menentang segala tohmahan, pembohongan, hasutan dan fitnah! Bangkit bagi menegakkan kebenaran dan keadilan! Dan bangkit bagi memperjuangkan hak kita dan hak negeri yang tercinta! Jangah sekali-kali kita berganjak dan berundur diri. Jangan sekali-kali kita mengangkat tangan dan menyerah kalah! Biar petir berdentum, biar langit bergegar hingga memuntahkan hujan api sekali pun, kita tidak akan berganjak walau seinci! Patah galah bertongkat kaki, patah kaki bertongkat lutut, patah lutut bertongkat siku, patah siku bertongkat kuku! Namun pendakian akan tetap kita daki, dan lautan api akan terus kita renangi! Pantang maut sebelum ajal, pantang berundur sebelum bertarung! Kita wira-wira bangsa dan para pejuang Gagasan Rakyat – ayuh! Bangkit dan nyatakan kepada dunia, kita adalah pembela rakyat, dan kita adalah pejuang yang sanggup gugur demi mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negeri yang tercinta!”
































