Gunung Everest mempunyai ketinggian 8,848.86 meter.
Selepas bergelut dengan kesihatan mental semasa wabak Covid-19, seorang lelaki Britain Sean Geasly berusaha memecahkan rekod dunia demi mengumpul dana untuk badan amal pencegahan bunuh diri dan mendaki tangga rumahnya berketinggian hampir sama dengan Gunung Everest.
Menurut Utusan Malaysia, Greasley mengubah suai tangga rumahnya di Las Vegas, Nevada bagi merealisasikan usaha mencatat masa terpantas menaiki dan menuruni anak tangga sehingga menyamai ketinggian Gunung Everest.
Dia mengambil masa 22 jam 57 minit dan 2 saat untuk naik dan turun pada ketinggian penuh 8,848.86 meter apabila dia menyahut cabaran itu dari 3 hingga 4 September 2021.
Usaha luar biasa itu berjaya mengumpulkan dana sebanyak AS$409.85 (RM1,805) untuk Yayasan Pencegahan Bunuh Diri Amerika.

“Saya memutuskan untuk memecahkan rekod ini kerana tiada siapa yang melakukannya, jauh dari paras laut.
“Saya mahu mengumpul wang untuk pencegahan bunuh diri, jadi saya fikir saya akan menggabungkan dua matlamat ini menjadi satu misi utama.
“Kami menghampiri penghujung Covid-19 dan saya mengalami banyak masalah mental dan isu, itulah sebabnya badan amal ini sangat dekat di hati saya,” katanya.
Greasley yang menyiarkan percubaan itu secara langsung di akaun YouTube miliknya, terpaksa menaiki dan menuruni tangga sehingga keseluruhan ketinggian Everest dicapai di kedua-dua arah.
Dia malah memperkenalkan peraturannya sendiri, seperti tidak menyentuh pemegang bagi mewujudkan pengalaman sebenar seakan mendaki Everest.
Lelaki itu menggunakan beberapa perisian untuk membantu menjejaki pendakiannya, dengan jumlah berjalan pada strim langsungnya dikemas kini setiap kali dia kembali ke bahagian bawah tangganya dan menekan butang.
Walaupun bercucuran peluh dia akhirnya menamatkan pusingan terakhirnya di tangga dengan penuh bergaya.
Selepas turun semula, Greasly rebah di atas lantai dalam usaha untuk memulihkan nafasnya.
Beberapa jam selepas dia menyelesaikan percubaannya, isterinya, Aleta merakamkan aksinya terkial-kial di sekitar rumah, menahan kesakitan.
Greasly mengakui tidak dapat membengkokkan kakinya selepas selesai mencatat rekod aneh itu.
Walaupun selepas tiga tahun berlalu, rekod yang dicipta Greasly masih belum dipecahkan.
Lelaki itu juga sebelum ini memegang rekod maraton paling lama bermain permainan tarian bersama isterinya, tetapi rekod aksi selama 38 jam 23 min 30 saat itu sudah dipecahkan.
Ia kini dipegang oleh Carrie Swidecki dari Amerika Syarikat (AS) dengan 138 jam 34 saat.


































