Lexus RZ 450e
Lexus memang sudah lama menarik perhatian mereka yang telah muak dengan karenah kenderaan premium jenama Eropah.
Menurut Utusan Malaysia, sememangnya DNA Toyota yang menebal menjadikan Lexus ini lasak dan mudah diselenggara. Pemilik jarang terkesan dengan bil-bil penyelenggaraan berbelas ribu ringgit dan selepas bertahun digunakan, ia masih senyap dan kekal berbakti.
Sayangnya, Lexus tidak ada yang dipasang di dalam negara, menjadikan harga jualannya sangat tinggi. Hairan sekali bila dengan insentif kenderaan elektrik (EV) di mana ia tidak perlu membayar duti eksais dan cukai import, Lexus RZ 450e ini masih mengarut mahalnya pada RM429,888.
Penulis memandu uji model ini selama lima hari untuk melihat apa yang menyebabkan ia mahal dan di hari kelima, akhirnya berjumpa dengan sebabnya.
Jenama
Banyak syarikat-syarikat premium mengenakan harga yang mahal untuk jenama mereka kerana ramai yang sanggup membayar. RZ ini tidak terkecuali.
Dari segi reka bentuk luaran, memang RZ ini adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) paling menarik untuk Lexus. Ia jauh lebih agresif dari RX yang semakin lembut garisannya.
Walaupun tidak ada gril, Lexus masih berjaya mengekalkan bentuk spindle grille di hadapan tanpa nampak janggal seperti EV yang lain.
Dari sudut belakang pula, cukup agresif dan hampir menyaingi reka bentuk Eropah. Spoiler bertaring yang bersambung dengan tulang bumbung memang garang dan walaupun bamper belakang tidak wujud, ia jauh dari sebuah bentuk yang ‘kosong’.
Saiz tayar pula yang nampak pelik, seperti tidak cukup lebar untuk roda aloi 20 inci itu.
Bahagian kabin, tidak lari jauh dari RX dan SUV lain di dalam keluarga Lexus. Konsep Tazuna yang digunakan hampir sempurna kerana selepas sehari, kesemua kawalan penting mudah dicapai atau diakses oleh pemandu.
Tempat duduk dibalut dengan kemasan Ultrasuede, baldu premium yang terasa mahal dan kekal sejuk walaupun dibiarkan parkir di bawah sinaran matahari terik.
Sistem audio ialah antara ciri utama sesebuah Lexus dan untuk RZ, ia menggunakan Mark Levinson Premium 13-pembesar suara. Mungkin tidak terbaik tetapi kerana RZ ini cukup senyap dan ketiadaan enjin menambahkan lagi kecemerlangan sistem audio ini.
Lexus ini sebenarnya terlalu senyap hinggakan pihak jurutera terpaksa menggunakan sistem Active Sound Control bagi menghasilkan bunyi latar belakang ketika memecut supaya penumpang dan pemandu sedar mereka sedang bergerak ke hadapan.
Lebih penting ialah sistem elektrifikasi yang digunakan. Lexus RZ 450e menggunakan bateri lithium ion 71.4 kWh dengan jarak gerak 440 kilometer (km) (WLTP).
Prestasi tenaga keseluruhan dari dua motor elektrik (depan belakang) ialah 313 PS dan daya kilas 266 Nm (depan) dan 169 Nm (belakang).
Halaju maksimum cuma 160 km sejam (kmsj) tetapi pecutan dari sifar ke 100 kmsj ialah 5.3 saat.
Pengecas terbina pula ialah 150 kW untuk DC (0-180 peratus dalam 30 minit) dan 11 kW untuk AC.
Lexus juga buat kali pertama menggunakan tuil gear jenis putar (rotary) yang digunapakai oleh ribuan kenderaan lain dan jutaan kenderaan dari China.
Ada lima mod pemanduan dan penulis tidak merasakan ia sesuatu yang penting di dalam sebuah EV.
Sejujurnya, selain dari kabin yang senyap dan reka bentuk yang menarik, RZ ini tidak ada bezanya dengan Toyota bZ4X, EV pertama Toyota yang pernah dipamerkan di Malaysia tetapi bukan untuk dijual.
Dibandingkan dengan EV dari jenama mewah Eropah, kabin RZ ini terlalu biasa dan tidak begitu mengagumkan.
Tidak ada ‘wow’ untuk menjadikan ia berharga lebih dari RM400,000 dan kerana itu, Lexus Malaysia sepatutnya menurunkan harganya dan mencuri jualan dari EV jenama premium Eropah lain.






























