KUALA LUMPUR: Pengalaman dikhianati bekas pembantu peribadi sebelum ini membuatkan pelakon, Uqasha Senrose kini tidak mudah memberikan kepercayaan kepada mana-mana individu yang bukan bergelar ahli keluarganya.
Menurut Utusan Malaysia, aktres berusia 32 tahun itu berkata, dia enggan mengulangi kesilapan, justeru lebih berhati-hati dan tidak mudah meletakkan kepercayaan terhadap mana-mana individu yang tidak dikenalinya.
“Saya serik, sudah berbuat baik dan seikhlas yang mungkin, tetapi diperlakukan sedemikian. Sebagai manusia, siapa pun akan berasa kecewa dan sakit hati.
“Apa pun, saya anggap pengalaman ini satu pelajaran. Selepas ini, saya perlu belajar untuk bina sempadan sebab sebelum ini saya terlalu mudah memberi kepercayaan kepada orang asing.
“Dan yang penting, saya akan kecilkan lagi kelompok kawan-kawan saya. Keputusan ini saya ambil untuk kebaikan diri sendiri dan keluarga,” katanya yang ditemui pada sesi penggambaran filem Bisikan Dosa.
Uqasha sebelum ini menolak apabila dikaitkan dengan laporan polis yang dibuat seorang wanita bergelar pembantu peribadi kepada seorang artis yang mengaku dipukul majikannya.
Mengulas lanjut, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen turut memaklumkan sudah membuat laporan polis mengenai dakwaan berkenaan dan masih menunggu tarikh untuk kes tersebut dibicarakan di mahkamah.
“Kes ini dalam siasatan polis. Saya masih menunggu tarikh untuk ia dibawa ke mahkamah. Kita ikut prosedur undang-undang,” katanya lagi.
Sementara itu, isteri kepada pelakon Kamal Adli ini juga memaklumkan, gara-gara kejadian itu, dia tidak akan lagi menggunakan khidmat pembantu peribadi sepenuh masa.
“saya tidak akan ambil yang sepenuh masa sekalipun perlu khidmat pembantu untuk jaga anak apabila saya dan Kamal bekerja,.
“Dan saya tidak akan lagi ambil pembantu peribadi seperti sebelum ini yang mana sampai individu itu dibenarkan masuk ke rumah, hantar dan ambil saya bekerja,” tegasnya.


































