Setiap hari, Kuranosuke Kato menunggang basikal roda tiganya dengan ceria mengelilingi kampung Ichinono d Jepun yang ditakluki oleh boneka bersaiz manusia.
Menurut Utusan Malaysia, kanak-kanak berusia dua tahun itu merupakan bayi pertama dalam tempoh dua dekad yang lahir di komuniti terpencil di Jepun di mana majoriti penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
Rie Kato yang berusia 33 tahun dan Toshiki Kato, 31, berpindah dari bandar besar Osaka ke Ichinono pada 2021 dan melahirkan Kuranosuke.
Pasangan itu memilih untuk meninggalkan kehidupan bandar kerana wabak Covid-19 yang melanda dunia membenarkan kerja yang lebih fleksibel.
Sebagai penduduk ‘bongsu’ setakat ini, anak lelaki mereka menjadi kesayangan seluruh penduduk kampung lain dan mereka sentiasa membawakannya makanan, malah bergilir menjaganya bersama.

Anak kecil itu adalah ‘kebanggaan kami’, kata ketua kampung, Ichiro Sawayama, manakala seorang balu berusia 88 tahun, Hisayo Yamazaki menggelar Kuranosuke sebagai cicitnya.
Gelak tawa dan keletah Kuranosuke menceriakan Ichinono, kawasan perkampungan dusun sepi yang hanya dihuni kurang 60 orang. Populasinya semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana ramai meninggalkan kawasan itu untuk mencari pekerjaan yang lebih baik di bandar besar.
“Jika kampung ini dibiarkan, satu-satunya perkara yang menanti kita adalah kepupusan,” kata Sawayama, 74.
Kesunyian yang menyelubungi Ichinono menyebabkan penduduk menghiasi kawasan sekelilingnya dengan puluhan patung buatan tangan bersaiz manusia untuk mewujudkan rupa masyarakat yang sibuk.
Mereka turut mencipta versi patung bagi menggantikan bekas penduduk yang sudah meninggalkan perkampungan itu demi memastikan Ichinono terus hidup.
Boneka-boneka itu menaiki buaian, bercucuk tanam, menolak kayu api dan melintas jalan yang sunyi sambil tersenyum ‘ngeri’ kepada pengunjung.
Terdapat juga boneka gadis kecil menunggang basikal melintasi rumput di beberapa lokasi bagi menggantikan keriuhan generasi kanak-kanak yang lama hilang di kawasan itu.
Kampung aneh itu hanya mempunyai segelintir penduduk berusia bawah 35 tahun. Anak patung itu kebanyakannya diperbuat daripada fabrik lama yang tidak lagi digunakan.
Malah, sesetengah penduduk tempatan meletakkan boneka-boneka tersebut di luar rumah mereka untuk dijadikan ‘rakan bersembang’ sekiranya kesepian.
Bagaimanapun, apabila semakin ramai penduduk kampung meninggalkan Ichinono, boneka itu kini dikatakan lebih ramai daripada manusia.
“Jumlah kami mungkin sudah kalah dengan boneka-boneka ini,” kata Yamazaki kepada AFP.

































