PENAMPANG: Seramai 368 ahli perwakilan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) dari kesemua 73 bahagian akan menghadiri Kongres Wanita parti yang akan diadakan di Hotel Penampang D’Arc di sini, Isnin depan (28 Okt), bermula pada jam 1.30 petang.
Sebelum itu, Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam akan merasmikan pembukaan bersama Kongres Wanita dan Pemuda PBS Ke-39 di Dewan KDCA, Hongkod Koisaan, di sini, pada jam 10 pagi.
Kongres Wanita yang akan berlangsung daripada jam 1.30 petang hingga 4 petang akan dipengerusikan oleh Christina Antony Kodou, yang akan dibantu oleh Raihanah Rosnie Deiding Abdullah., Rosnah Ullap ialah Pengerusi penganjur Kongres Wanita ke-39.
Pada malamnya, para perwakilan Wanita turut dijemput untuk menyertai Malam Bersatu di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, Kota Kinabalu, yang akan bermula pada jam 6.30 petang.
Pada keesokannya (29 Okt), mereka akan turut menghadiri Kongres PBS Ke-39 yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Ketua Wanita PBS, Datin Malianah Ugau yang memaklumkan ini turut menyeru semua perwakilan Wanita bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang dan terlibat sepenuhnya dalam membantu jentera pemilihan parti.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Dr. Joachim Gunsalam, yang merupakan Timbalan Presiden parti, sebagai Pemangku Presiden oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili. Pelantikan itu telah disahkan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PBS.
Malianah turut memaklumkan bahawa satu bengkel mengenai teknologi maklumat dan strategi untuk semua pemegang jawatan maklumat yang melibatkan semua peringkat cawangan dan bahagian akan diadakan hujung minggu ini (26-27 Okt).
Beliau mengingatkan ahli terpilih untuk memanfaatkan peluang tersebut dengan mengambil bahagian sepenuhnya dalam bengkel khusus ini dan menggunakan pengetahuan untuk menyampaikan maklumat penting secara berkesan kepada ahli parti dan orang ramai seperti mengenai hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mesti dihormati dan dilaksanakan, yang telah diperjuangkan oleh parti tanpa henti selama bertahun-tahun.
Sementara itu, Ketua Publisiti jawatankuasa penganjur, Datin Seri Vicky Yee meminta ahli perwakilan Wanita untuk mendaftar dan mengambil pek persidangan di Ibu Pejabat PBS di Donggongon, di sini, dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada Ahad (27 Okt).
































