Razarudin Husain
PETALING JAYA : Seramai 22 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali akan dituduh hari ini dibawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi Ahli Kumpulan Jenayah Terancang.
Menurut Utusan Malaysia, selain Nasiruddin, turut dituduh di bawah seksyen sama iaitu isterinya Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan itu telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang kelmarin
“Kesemua OKT akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang esok pagi (hari ini),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam tadi.
Pada 16 Oktober lalu,Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu 58 individu ditahan di bawah SOSMA termasuk 16 orang yang merupakan pengurusan tertinggi GISBH.
Mereka antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global hingga fasa keempat
Selain itu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

































