Calver muncul juara pertandingan e-sport HSN 2024 Peringkat JAPEN Sabah.
KOTA KINABALU: Wakil Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah, Calver O’nell muncul juara pertandingan e-sport acara e-football sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat JAPEN Sabah.
Calver yang bangkit pada saat-saat akhir berjaya menewaskan wakil Jabatan Penyiaran Sabah (RTM), Oziel Joachim Mathew dengan jaringan 4-3.
Manakala, tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh wakil JAPEN, Azli Otto dan Ali Zulhafiz Abdul Ghafar.
Kira-kira 30 orang kakitangan dari JAPEN dan RTM Sabah menyahut cabaran dalam pertandingan berkenaan yang diadakan di lobi Kompleks Kementerian Komunikasi seawal 9:00 pagi.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, penganjuran e-sport merupakan salah satu inisiatif jabatan dalam bersama-sama memeriahkan lagi HSN 2024 yang disambut setiap minggu kedua bulan Oktober.
Menurut Jainisah, selain memupuk budaya kerja yang sihat, program tersebut juga dapat mengeratkan silaturahim di antara agensi di bawah Kementerian Komunikasi.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan program tersebut bagi merealisasikan saranan dari menteri agar sukan menjadi satu program teras dalam jabatan mahupun agensi di Kementerian Komunikasi dengan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan.
Selain pertandingan e-sport, turut diadakan Senam Seni Madani yang dipimpin oleh kumpulan PENTARAMA JAPEN Sabah serta permainan Virtual Reality (VR).


































