Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin dalam sidang akhbar di Pulapol semalam.
KUALA LUMPUR: Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dipercayai memiliki 23 aset dianggarkan bernilai RM52.4 juta di luar negara.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya mempunyai maklumat GISBH memiliki aset-aset tersebut di 10 negara melibatkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.
“Kita masih mengumpul maklumat-maklumat daripada luar melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan rakan-rakan serantau berkaitan aset-aset GISBH di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, semalam.
Tambahnya, pihak polis juga sedang menunggu maklumat lanjut daripada sembilan negara lain berkaitan pemilikan aset GISBH di luar negara.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya turut membekukan dan menyita pelbagai harta milik GISBH di dalam negara yang bernilai kira-kira RM19 juta.
Katanya, tindakan tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) [Akta 613].
“Setakat ini, PDRM sudah melaksanakan pembekuan pelbagai harta mengikut Seksyen 44(1) Akta 613 berjumlah RM17.04 juta manakala tindakan penyitaan pelbagai harta juga dilaksanakan mengikut Seksyen 45(2) Akta 613 berjumlah RM2.86 juta,” katanya.
Dalam pada itu katanya. sebanyak 97 kertas siasatan pelbagai jenis kesalahan dibuka polis membabitkan GISBH sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu.
Mohd. Shuhaily berkata, antaranya satu kertas siasatan berkaitan jenayah terancang di bawah Seksyen 130v Kanun Keseksaan (KK) dan satu lagi di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 kertas siasatan melibatkan sembilan individu telah didakwa dengan 34 pertuduhan.
“Ia melibatkan 20 pertuduhan bagi Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sembilan pertuduhan bagi Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (tiga) dan masing-masing satu bagi Seksyen 354 KK dan Seksyen 506 KK.
“Empat kertas siasatan juga telah diberikan arahan tuduh oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) serta akan didakwa dalam masa terdekat.
“Dua kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya.
Dalam perkembangan sama,beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali antara 16 individu yang semalam ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Katanya, sebanyak 58 individu ditahan di bawah SOSMA termasuk 16 orang yang merupakan pengurusan tertinggi GISBH turut ditahan tengah hari semalam.
Sepanjang fasa empat Op Global, seramai 625 mangsa telah diselamatkan berusia lingkungan dua bulan hingga 28 tahun.
Jelas beliau, seramai 553 mangsa setakat ini ditempatkan di 13 pusat perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala 72 orang lagi diserahkan kepada ahli keluarga mereka.
Ditanya bagaimana pihak polis ingin memastikan keselamatan kanak-kanak tersebut terjamin di bawah jagaan keluarga dipercayai ahli GISBH, beliau berkata, pihaknya yakin dengan JKM yang mempunyai prosedur ketat bagi meneliti keadaan keluarga.
































