Penyerang Greece Vangelis Pavlidis (kanan) merembat bola untuk gol kedua menentang England dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Wembley, London pagi ini.
LONDON: Jurulatih sementara Lee Carsley mengakui taktik yang digunakannya akhirnya memakan diri selepas England tumbang kepada Greece 2-1 dalam saingan Liga Negara-Negara pagi ini.
Jaringan Vangelis Pavlidis pada babak kedua perlawanan meletakkan Greece di depan dalam aksi di Stadium Wembley.
Jude Bellingham kembali meletakkan perlawanan seimbang dengan jaringan penyamaan, namun Pavlidis sekali lagi meninggalkan England dengan gol pada babak akhir sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama kepada Carsley.
Lebih memeritkan buat skuad Three Lions apabila pasukan itu diejek oleh penyokong mereka sendiri selepas wisel penamat menandakan berakhirnya kemegahan Carsley selepas mencatat kemenangan sebelum ini mengatasi Ireland dan Finland.
Dalam saingan Kumpulan A2, Itali dan Belgium terikat 2-2 membolehkan Azzuri kekal di tangga teratas dengan Perancis menghuni tangga kedua selepas membelasah Israel 4-1.
Sementara itu, Norway menewaskan Slovenia 3-0 di Oslo untuk menjadi pendahulu kumpulan B3 dengan kelebihan tima mata ke atas Austria yang menewaskan Kazakhstan 4-0.
Republik Ireland pula menewaskan Finland 2-1.
































