Tangkap layar video tular didakwa memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja sebuah kedai makan membersihkan periuk menggunakan penyapu di Lipis, Pahang.
LIPIS: Tular rakaman di media sosial memaparkan aksi seorang lelaki dipercayai pekerja sebuah kedai makan di sini didakwa membersihkan periuk menggunakan penyapu.
Menurut Utusan Malaysia, klip video berdurasi dua saat itu yang dimuat naik di laman Facebook Komuniti Anak-Anak Lipis kira-kira pukul 5 petang kelmarin menerima kritikan dan kecaman netizen.
Dalam klip itu, lelaki terbabit sedang mencuci periuk di belakang premis dipercayai terletak di bandar Lipis.
Rata-rata netizen meminta siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa bagi keselamatan dan kesihatan pengguna di sini.
Sehingga pukul 9 malam tadi, klip tersebut telah mendapat lebih 60,000 tontonan,444 komen dan 439 tanda suka.
Pihak bertanggungjawab masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang kejadian ini dan mengesahkan itu adalah rakaman lama atau sebaliknya.
Namun ia menimbulkan kebimbangan masyarakat tentang kebersihan dan keselamatan makanan di kawasan tersebut.

































