Masiung Banah
KOTA KINABALU: Kerajaan perlu meletakkan syarat kepada penerima subsidi yuran kemasukan pelajar ke universiti awam kerana ia dilihat tidak adil kepada pelajar golongan berpendapatan rendah, kata ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Beliau meminta Kementerian Pengajian Tinggi merangka garis panduan sebagai prasyarat bantuan itu kerana ia turut dinikmati anak golongan bangsawan dan berpengaruh.
Dalam kenyataanya hari ini, Masiung menegaskan, adalah sangat tidak adil anak ahli perniagaan terkenal, pemimpin politik dan penjawat awam berpangkat kanan memperolehi kemudahan subsidi tersebut yang dianggapnya sebagai ketirisan yang silap.
“Sepatutnya tawaran subsidi atau biasiswa mempunyai kerangka yang jelas dan ada proses pemilihan, mana golongan yang layak perlu dibantu supaya jurang antara miskin dan kaya dapat dirapatkan.
“Saya melihat agihan subsidi yuran pelajar dipelopori oleh pelajar anak orang kaya kerana pengaruh kekayaan ibu bapa mereka, sementara anak orang miskin sekadar menjadi perintis di belakang.
“Ini tidak adil dan ia perlu diubah kerana pelajar golongan B40 yang cemerlang dan berbakat besar dalam pendidikan mempunyai ruang yang sempit berbanding golongan kaya,” tegasnya.
Masiung mengesa Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya mewujudkan kerangka baharu subsidi tersebut supaya rakyat melihat Kerajaan pada hari ini bersikap adil kepada penduduk miskin.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, sebahagian besar subsidi yuran pangajian ditanggung Kerajaan bagi kursus peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma di universiti awam turut dinikmati anak golongan bangsawan dan ternama.
Beliau berkata, yuran pengajian peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menelan belanja RM88,152 bagi tempoh pengajian empat tahun, namun menerusi subsidi itu pelajar hanya perlu membayar RM7,520 sahaja.
Subsidi itu meliputi semua pelajar kemasukan tahun akademik 2024/2025, termasuk dari keluarga berpendapatan tinggi.
Kelmarin, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membayangkan subsidi yuran universiti kepada anak golongan kaya mungkin dihentikan.
































