Orang ramai berkumpul di luar Hospital Universiti Amerika selepas beberapa mangsa cedera akibat letupan alat kelui di Beirut, semalam
BEIRUT: Sekurang-kurangnya sembilan maut, termasuk seorang kanak-kanak, dalam letupan serentak komunikasi tanpa wayar yang dikenali sebagai alat kelui atau ‘pager’ di kawasan berbeza di Lubnan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Firas Al-Abiad berkata, kira-kira 2,750 yang lain turut cedera, termasuk 200 mereka dalam keadaan kritikal.
Media Lubnan melaporkan, peranti itu meletup selepas pelanggaran sistem komunikasi Israel.
Kumpulan pejuang Hezbollah turut mengesahkan dua anggota terbunuh dan ramai lagi cedera dalam letupan besar-besaran itu.
“Kira-kira 3.30 petang (waktu tempatan) pada Selasa, beberapa peranti alat kelui yang digunakan oleh pelbagai anggota unit dan institusi Hezbollah meletup,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Hezbollah menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya dalam insiden tersebut dan berikrar akan membalas dendam terhadap Tel Aviv.
Terdahulu, penasihat rapat kepada Perdana Menteri Israel, Topaz Luk memberi bayangan seolah-olah Israel dalang di sebalik letupan peranti di seluruh Lubnan itu.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Lubnan menggesa semua rakyat yang memiliki alat kelui itu supaya segera membuangnya.
Letupan besar-besaran itu berlaku ketika serangan rentas sempadan antara Hezbollah dan Israel, susulan perang Gaza yang tercetus sejak 7 Oktober, tahun lalu.
































