Taufan Bebinca mendarat di bandar raya Shanghai dengan kelajuan angin maksimum 151 kilometer sejam.
SHANGHAI: Taufan Bebinca melanda Shanghai awal kelmarin, ribut tropika paling kuat mendarat di pusat kewangan China dalam tempoh lebih 70 tahun.
Dengan kelajuan angin maksimum 151 kilometer sejam berhampiran pusatnya, Bebinca mendarat di bandar raya Shanghai yang mempunyai populasi hampir 25 juta penduduk sekitar pukul 7.30 pagi Isnin (waktu tempatan).
Menurut Utusan Malaysia, media kerajaan melaporkan, ia adalah ribut terkuat yang melanda Shanghai sejak Taufan Gloria pada tahun 1949.
Menurut pihak berkuasa bandar, hujan dan angin kencang menumbangkan lebih 10,000 pokok di seluruh Shanghai dan lebih 400,000 penduduk dari laluan Bebinca diarahkan berpindah.
Penyiar negara CCTV melaporkan, lebih 1,400 penerbangan dari dua lapangan terbang dan 570 operasi kereta api penumpang dibatalkan di sejak Ahad.
Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) menerusi satu kenyataan memaklumkan, empat penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Pudong Shanghai pada Ahad dan Isnin dibatalkan kerana cuaca buruk disebabkan oleh Bebinca.
Stesen kereta api Shanghai juga menggantung beberapa perkhidmatan kereta api ketika China meraikan cuti umum Festival Pertengahan Musim Luruh selama tiga hari.
Resort-resort di Shanghai termasuk Shanghai Disney Resort, Taman Tema Jinjiang dan Taman Haiwan Liar Shanghai, turut ditutup sementara dan perkhidmatan feri dihentikan.
Semua lebuh raya ditutup pada 1 pagi waktu tempatan dan had kelajuan 40 kilometer sejam dikuatkuasakan di jalan-jalan dalam bandar.
Shanghai jarang mengalami kesan langsung dari taufan kuat yang biasanya mendarat lebih ke selatan di China dengan Taufan Yagi, ribut Kategori 4 yang merosakkan, melintasi selatan wilayah Hainan minggu lalu.
































