PETALING JAYA : Polis mengesahkan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun maut ketika beraksi pada perlawanan bola sepak di sebuah padang di Semenyih, di sini Ahad.
Satu laporan diterima polis berhubung kematian kanak-kanak itu daripada jurulatih kelab bola sepak pada pukul 4.08 petang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, semakan mendapati mangsa mempunyai masalah asma sejak kecil, tetapi tidak serius.
“Siasatan mendapati semasa kejadian mangsa sedang bermain bola sebelum rebah secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan kelmarin
Jelasnya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada pukul 2.02 petang.
“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mempunyai masalah komplikasi jantung dan asma.
“Sehubungan itu, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.
Dalam pada itu, Naazron turut menasihati ibu bapa supaya membuat pemeriksaan kesihatan anak-anak sebelum menyertai kejohanan atau aktiviti sukan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.


































