Redonah bergambar bersama peserta yang menghadiri zumba di Fitness Centre, Dewan Residensi Prima, Kota Marudu baru-baru ini.
KOTA MARUDU: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, kebanyakan golongan tua dan muda kini sering menghadapi masalah kesihatan.
Beliau berkata, keadaan kesihatan ini berkait rapat dengan amalan gaya hidup iaitu mungkin tidak menjaga pemakanan, kurang bersenam dan stres.
“Rezeki kesihatan itu ‘mahal’. Apatah lagi, tidak kira pada usia muda atau sudah ke tahap warga emas, kehadiran pelbagai penyakit yang ‘singgah’ di tubuh badan selalunya jarang disedari.
“Saya menyeru orang ramai agar mengutamakan kesihatan diri supaya dapat menurunkan risiko penyakit samada berjangkit mahupun tidak berjangkit. Kita boleh beriadah sambil berzumba untuk menjaga kesihatan,” katanya semasa merasmikan Fitness Centre di Dewan Residensi Prima di sini baru-baru ini.

Redonah berkata, setiap anggota masyarakat perlu sentiasa peka dan mengambil tahap kesihatan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Katanya, selain gaya hidup sihat, pengambilan makanan seimbang juga penting bagi mengekalkan kecergasan dan kesihatan badan.
“Amalkan senaman supaya kekal sihat dan cergas. Selain gaya hidup sihat, pengambilan makanan seimbang juga penting bagi mengekalkan kecergasan dan kesihatan badan.
“Penekanan mengenai gaya hidup sihat harus diberi kepada golongan generasi muda kerana mereka adalah tulang belakang kepada kemajuan negara pada masa depan.
“Kita semua perlu selitkan sedikit aktiviti bersukan dan riadah, walau sesibuk mana pun jadual kerja kita, kerana kesihatan kita perlu sentiasa kita pelihara dan bersukan adalah antara cara untuk kita meningkatkan mutu dan kualiti kesihatan kita,” kata Redonah.


































