LONDON: Pep Guardiola mengakui pemain Manchester City perlu mempamerkan peningkatan ketika mereka menerima kunjungan Ipswich Town di Stadium Etihad, malam ini.
Menurut Utusan Malaysia, skuad The Citizens memulakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-0 ke atas Chelsea, tetapi Guardiola mahukan lebih daripada skuadnya.
Biarpun melakukan banyak percubaan tepat ke pintu gol Chelsea, City gagal meledak lebih banyak jaringan, sesuatu yang mengejutkan pengendali kelahiran Sepanyol itu.
“Saya tidak menjangkakannya. Kami jauh daripada prestasi terbaik kami jadi tiga mata adalah berita baik. Berita buruknya ialah kami mempunyai 65 perlawanan di hadapan kami.
“Kami mempunyai kelebihan, ini musim kesembilan kami bersama dalam pasukan jadi kami mengenali antara satu sama lain dengan baik dan tahu apa yang diperlukan dalam pasukan.
“Ada rancangan, bertahan, menyerang. Tetapi selepas itu, itulah cara kami meraikan saat-saat yang baik dan kembali dari saat-saat buruk. Itulah yang mentakrifkan pasukan ini dan tiada siapa yang bercakap mengenainya.
“Aksi berdepan Ipswich di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan pemain perlu menyempurnakan peluang yang terhidang bagi membuktikan keberkesanan,” kata Guardiola.
Dalam aksi menentang Chelsea minggu lalu, gol pembukaan City dijaringkan oleh Erling Haland pada minit ke-18 sebelum Mateo Kovacic mengesahkan kemenangan pada minit ke-84.
































