KEMAMAN: Seorang penumpang bas ekspres mendakwa dicabul seorang lelaki yang juga pemandu bas kedua ketika dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, tengah malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, wanita yang berusia 23 tahun dan berasal dari Marang, Kuala Terengganu itu menaiki bas tersebut kira-kira pukul 10.15 malam tadi dari Stesen Bas Kuala Terengganu.
“Wanita itu mendakwa, ketika tiba di Plaza Tol Chukai, Kemaman kira-kira pukul 11.30 malam, dia yang sedang tidur di tempat duduk bahagian belakang di tingkat dua bas itu tersedar apabila mendapati lengan kirinya ditarik suspek yang merupakan pemandu bas kedua, berada di sebelahnya.
“Wanita itu mendakwa, lehernya terasa seperti dijilat dan suspek turut memegang payudara serta menyeluk seluar dan memegang kemaluannya menyebabkan dia terjaga dan menjerit serta menepis tangan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hanyan berkata, wanita itu kemudiannya menyambung tidur selepas mendapati suspek berhenti melakukan perbuatan keji itu.
“Wanita itu mendakwa, suspek beredar dari tempat duduk sebelahnya ketika bas berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Chenor, Pahang.
“Sebaik sahaja tiba di Stesen Bas Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur kira-kira pukul 4 pagi tadi, wanita itu bergegas membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan Baru,” katanya.
































