Ten Hag sekali lagi dijangka mengharapkan penyudah tajam Joshua Zirkzee dalam aksi menentang Brighton, hari ini
MANCHESTER: Erik Ten Hag memberi amaran kepada barisan bintang Manchester United agar bersedia dengan penggiliran pemain dalam kesebelasan utama pasukan berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Ten Hag berkata, biarpun mana-mana pemain mempamerkan aksi terbaik dan menunjukkan peningkatan, itu tidak bermakna mereka akan tersenarai dalam setiap perlawanan.
“Kami mempunyai pemain berkualiti dan saya berharap kami akan memiliki skuad dengan posisi berganda, bermakna anda tidak boleh memilih semua pemain untuk sesuatu perlawanan.
“Tetapi anda perlukan mereka semua sepanjang musim kerana musim ini lebih mencabar untuk memulihkan semula reputasi kelab
“Kami perlu uruskannya. Begitu juga sikap pemain sangat penting, ada kalanya mereka kecewa tetapi mereka perlu menanganinya.
“Anda tidak menang dengan 11 pemain tetapi dengan satu pasukan. Kejuaraan ditentukan pada Mei tahun depan dan sehingga itu, kami perlukan semua pemain yang bermotivasi tinggi.
“Ini bukan jangkaan, ia permintaan kelab dan saya sebagai pengurus. Pasukan selalunya lebih penting daripada individu,” kata Ten Haq yang akan menentang Brighton, hari ini.
United membelanjakan lebih 130 juta pound (RM747 juta) bagi membawa masuk Joshua Zirkzee, Leny Yoro, Matthijs de Ligt dan Noussair Mazraoui pada musim panas.
Kemungkinan juga pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Manuel Ugarte turut tiba di Old Trafford sebelum tarikh akhir jendela perpindahan.
Jadon Sancho tersisih daripada skuad yang menewaskan Fulham 1-0 akibat jangkitan telinga dan menurut Ten Hag dengan mempunyai banyak pilihan, pemain berprofil tinggi turut mungkin diketepikan.
































