Fadhlina Sidek
SABAK BERNAM: Sebanyak 710 daripada 1,035 sekolah daif yang dikenal pasti di seluruh negara sudah dibaik pulih sehingga bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, baik pulih tersebut merangkumi pembinaan semula bangunan serta membaiki kemudahan dan pelbagai kerosakan lain.
“Secara keseluruhan, ada 1,035 buah projek sekolah daif yang sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Daripada jumlah itu, kira-kira 100 lagi masih dalam proses baik pulih dan pembinaan sementara selebihnya kira-kira 200 berada pada peringkat prabina,” katanya pada Majlis Penyerahan Dua Sekolah Daerah Sabak Bernam, kelmarrin.
Dalam program itu, dua projek tersebut melibatkan pembinaan gantian penuh bangunan enam buah bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Bagan Terap dan projek pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Dorani.
Menurutnya, projek baik pulih dan pembangunan SMK Bagan Terap dan SK Sungai Haji Dorani masing-masing bermula pada Ogos 2021 dan Oktober 2023 dengan menelan belanja sebanyak RM3.38 juta dan RM4 juta.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan akan memasukkan pembangunan semula sekolah daif dalam permohohonan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2025 bagi meneruskan agenda baik pulih bangunan-bangunan tersebut.
Jelasnya, membaiki sekolah dalam kategori tersebut merupakan salah satu agenda utama kementerian untuk memastikan pelajar di sekolah terlibat dapat menjalani pembelajaran yang sama seperti di tempat lain.
“Selain isu sekolah daif, beberapa isu lain yang sedang dibincangkan bagi dimasukkan ke dalam rancangan KPM bagi Belanjawan 2025 seperti keluasan prasekolah, keciciran pelajar ke sekolah, kekurangan nutrisi di kalangan pelajar dan intervensi kanak-kanak keperluan khas.
“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan tamat pada tahun hadapan. Jadi, memperkenalkan pelan pendidikan yang baharu perlu dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 juga,” ujarnya.


































