Ruslin Jusoh ketika sidang akhbar berhubung Operasi Khas di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket ejen haram yang menawarkan perkhidmatan imigresen dengan mensasarkan warga China dalam satu operasi khas di tujuh lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan, Khamis lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen membabitkan lokasi di Cheras, Mid Valley City, Desa Pandan, Taman Midah, Sungai Besi di Kuala Lumpur dan Sepang, Selangor serta Bandar Enstek di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu, JIM berjaya menahan seramai lapan individu berusia lingkungan 33 hingga 53 tahun terdiri daripada empat lelaki warga tempatan dengan dua daripadanya dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket tersebut, selain dua wanita warga China yang disyaki bertindak sebagai ahli sindiket.
Katanya, turut ditahan dalam serbuan sama adalah seorang lelaki warga China dipercayai pelanggan kepada sindiket berkenaan dan seorang wanita warga Filipina yang merupakan pembantu rumah kepada dalang utama.
“Modus operasi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan mendapatkan kemudahan imigresen. Sindiket ini mensasarkan warga China yang ingin mendapatkan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) jangka panjang dan jangka pendek untuk tinggal lebih lama di negara ini.
“Sindiket tersebut didapati menggunakan aplikasi WeChat dan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan mereka dengan kadar dikenakan bermula RM1,200 bagi kemudahan pas khas sehingga mencecah RM15,000 bagi kemudahan PLS jangka panjang,” katanya menerusi sidang akhbar di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi selama sebulan dan bagi setiap perkhidmatan, ia hanya dilakukan menggunakan penghantaran kurier.
Selain itu, katanya, hasil semakan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.
Tambah beliau lagi, dalam serbuan itu, pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 107 pasport antarabangsa pelbagai negara terdiri daripada 100 pasport China, dua pasport Taiwan, tiga pasport Thailand dan masing-masing satu pasport Republic of Vanuatu dan Commonwealth of Dominica.
“Selain itu, kita rampas borang permohonan pas lawatan JIM, wang tunai berjumlah RM57,260 dan 29,660 Thai Bhat (RM3,770.27) dan menyita lima buah kenderaan,” ujarnya.

































