Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) perlu dipantau lebih dekat supaya ia berjaya memartabatkan bumiputera dan rakyat keseluruhannya tanpa meminggirkan kaum lain.
Justeru, Pelaksanaan PuTERA35 akan dipantau sepenuhnya oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri yang bakal menjadi dokumen baharu untuk mengangkat darjat dan martabat bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Pelaporan dan pemantauan secara sistematik dan bersepadu melalui dashboard akan membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh serta langkah intervensi dapat diambil dengan segera.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri menggesa semua agensi, kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membuat pemantauan itu supaya ia mencapai hasil yang disasarkan demi pembangunan negara.
“PuTERA35 ini perlu, kita nak merancang (pembangunan negara) tetapi tanggungjawab saudara dari agensi kerajaan, syarikat kerajaan, jabatan dan kementerian untuk menjayakannnya.
“Kita akan pantau dari dekat dan kita mahu program dan pelan ini berjaya untuk memartabatkan bumiputera dan rakyat Malaysia.
“Saya di antara PM yang paling sedikit bicara soal bumiputera dan dasar ekonomi bumiputera kerana saya lebih berminat untuk memastikan pelaksanaanya daripada menghebahkan dasarnya,” katanya ketika berucap meluncurkan PuTera35 di sini hari ini.
Pelan tersebut dibangunkan dengan penyertaan, pemilikan dan penguasaan (3P) bumiputera yang lebih bermakna, berhasrat untuk mencipta nilai melalui pendekatan lebih produktif dan bersesuaian dengan moderen bumiputera dalam usaha berkembang bagi meningkatkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Ia menekankan kepentingan aspek keseluruhan pembangunan termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak, serta orang Asli; menjamin asas kelangsungan, keutuhan dalam pengagihan kekayaan, kesaksamaan dan keadilan sosial.
Pelan ini adalah agenda bumiputera yang amat diharapkan dengan memberi tumpuan kepada setiap elemen bumiputera dari pelbagai latar belakang dan peringkat di negara ini.
PuTERA35 ini disokong tiga teras iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.
Ia disokong 12 pemacu dan 132 Ikhtiar yang komprehensif, berani dan berpandangan jauh serta lebih inklusif, iaitu satu anjakan besar dalam membawa pembangunan bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.


































