Gambar tular mayat dua wanita yang ditemukan dalam longkang di belakang bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
ALOR SETAR: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat dua beranak di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, di sini petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisoner Siti Nor Salawati Saad berkata, suspek berusia 43 tahun itu diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang, kira-kira pukul 9 malam tadi.
Setakat ini, polis masih mengenal pasti identiti kedua-dua mayat terbabit yang difahamkan mempunyai pertalian keluarga.
Sementara itu, tinjauan di lokasi malam tadi mendapati, sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) berada di lokasi untuk melakukan siasatan.
Mayat kedua-dua wanita terbabit kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad mengesahkan kejadian dan maklumat lanjut akan diberikan dalam tempoh terdekat.


































