KUALA LUMPUR : Kes kecurian kenderaan dikesan sering berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk kecuaian pemilik meletakkan kenderaan di kawasan terpencil atau gelap selain kerap meninggalkan barangan berharga.
Menurut Utusan Malaysia, hasil kajian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kes kecurian kenderaan juga boleh berlaku disebabkan pemilik kenderaan yang tidak mengunci kenderaan mereka.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, berdasarkan statistik, kes jenayah harta benda di kawasanya merekodkan peningkatan sebanyak 180 kes atau 51.43 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.
“Sepanjang tempoh kajian, sebanyak 350 kes direkodkan pada tahun 2023 meningkat kepada 530 kes tempoh sama tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan bersama IPD Wangsa Maju-VTREC Persatuan Penduduk Seksyen 10, Wangsa Maju dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Zon Setiawangsa dan Hari Bertemu Pelanggan kelmarin.
Mohammad Lazim berkata, bagi kes curi motosikal sebanyak 191 kes dilaporkan pada tahun 2023 dan meningkat kepada 211 kes pada tahun ini iaitu menyaksikan peningkatan sebanyak 20 kes.
“Bagi kes curi kereta sebanyak 54 kes dilaporkan pada tahun 2023 dan menurun kepada 53 kes pada tahun ini iaitu penurunan sebanyak satu kes.
“Manakala, bagi kes kecurian jenis kenderaan seperti lori, van, empat kes dilaporkan pada tahun 2023 dan menurun kepada satu kes pada tahun ini iaitu penurunan sebanyak tiga kes,” jelasnya.
Beliau berkata, bagi lain-lain jenis kecurian mengikut Sekyen 379 hingga hingga Seksyen 381 Kanun Keseksaan turut menunjukkan peningkatan kes di mana 204 kes dilaporkan pada tahun ini berbanding 72 kes dilaporkan pada tahun 2023.
“Berdasarkan hasil kajian yang diperolehi, lokasi kekerapan berlakunya kes jenayah ini ialah di sekitar pusat membeli belah, kawasan kediaman, tepi jalan dan di kawasan-kawasan sunyi dan terpencil.
“Beberapa langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil secara proaktif untuk membendung kes kecurian kenderaan ini adalah kesedaran pemilik kenderaan terhadap tahap keselamatan pengawasan kenderaan masing-masing,” ujarnya.
Beliau menambah, antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil oleh pemilik kenderaan adalah seperti memastikan kenderaan dipasang dengan alat penggera yang sewajarnya.
































