Tangkap layar kejadian cubaan samun sebuah kedai aiskrim daripada rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki menikam pekerja wanita premis berkenaan dekat Taman Sri Muda, di Shah Alam, Selangor.
SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Pakistan yang tular menikam seorang pekerja wanita rangkaian kedai aiskrim untuk menyamun di Taman Sri Muda direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kebenaran reman ke atas suspek berusia 39 tahun itu diperoleh pihaknya pagi tadi.
“Permohonan reman itu dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Syazwani Abd. Razak.
“Suspek yang tidak diwakili peguam itu dibenarkan reman sehingga 21 Oktober ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang pekerja wanita cedera selepas ditikam menggunakan pisau pemotong kertas dan disamun di kedai itu, Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun mengalami tiga kesan torehan pada bahagian badan.
Hasil maklumat membawa kepada penahanan suspek di sebuah pangsapuri di Puncak Alam, Kuala Selangor, pukul 4.15 petang semalam dan polis turut merampas senjata yang digunakan ketika kejadian.


































